Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

"Saya hampir gila tidak dapat jumpa anak-anak," kata Nad Zainal

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pelakon Nad Zainal menyifatkan pengalaman ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Ampang selama sebulan akibat paru-paru berdarah membuatkan beliau lebih menghargai kehidupan.
Melalui sesi 'live' di aplikasi TikTok, Nad berkata, beliau akan lebih berhati-hati dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala pada masa depan.

Menurut laporan agensi berita BH Online, Nad juga mengambil keputusan berehat daripada kerjaya lakonan buat sementara waktu.

Dalam sesi 'live' selama hampir 40 minit itu, Nad mengaku hampir 'gila' kerana tidak dapat berjumpa dua anaknya iaitu Fahad Ibrahim yang berumur enam tahun dan Budi Kalsom, berusia setahun sepanjang dirawat.

"Saya selalu berfikir bilakah dapat balik, malah, saya ingatkan tidak dapat balik lagi sehingga saya hampir gila kerana tidak dapat berjumpa anak-anak."

"Namun, saya amat bersyukur akhirnya dibenarkan keluar. Pertama kali melangkah keluar dari hospital, saya sangat teruja sebaik ternampak wajah Budi Kalsom."

"Doktor terkejut melihatkan perkembangan kesihatan jika dibandingkan ketika dimasukkan ke hospital."

"Saya sedar ramai yang memerlukan saya terutama sekali anak-anak."

"Melihat mama dan papa yang bersusah payah berulang alik ke hospital melawat saya serta rakan-rakan yang susah hati menjadikan saya bersemangat dan kuat untuk kembali sihat," katanya, lapor agensi berita BH Online.

Nad yang dimasukkan ke hospital pada 21 November lalu, tidak tahu penyakitnya serius dan tidak sedar apa yang berlaku ke atas dirinya. Sebaliknya, Nad hanya tahu apa yang terjadi selepas keluar dari hospital.

"Saya tidak sedar apa yang berlaku dan tidak tahu pun yang penyakit saya serius, bila balik barulah saya diberitahu keadaan saya ketika di ICU."

"Patutlah rakan-rakan risau sehinggakan hospital dibanjiri rakan industri seni."

"Saya berterima kasih dan sangat menghargai keprihatinan rakan-rakan kerana meluangkan waktu menziarah. Lebih membuatkan saya rasa sangat terharu apabila mereka mengambil insiatif menubuhkan tabung bantuan untuk saya."

"Saya berasa amat bersalah kepada rakan-rakan kerana sudah membuatkan mereka risau. Saya berjanji untuk menjaga kesihatan dan buat masa ini akan berehat daripada berlakon tetapi belum pasti berapa lama mungkin dua atau tiga bulan atau lebih," katanya, lapor agensi berita BH Online.

Sementara itu, Nad menafikan dakwaan beliau mengalami simptom COVID-19 berpanjangan serta menghadapi masalah buah pinggang hingga memerlukannya menjalani rawatan dialisis.

Nad turut menafikan penyakitnya berpunca daripada pengambilan makanan tambahan.

"Penyakit saya bukan disebabkan COVID-19 atau kerana pengambilan makanan tambahan sehingga timbul spekulasi buah pinggang rosak."

"Semua itu tiada kena mengena saya pun tidak tahu apakah punca hingga terjadinya paru-paru berdarah," katanya.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan