Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Salman Khan dipatuk ular 2 kali; ditahan 6 jam di hospital

Bintang Bollywood Salman Khan mendedahkan pengalaman ngeri bagaimana dirinya dipatuk seekor ular sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital selama enam jam.

Anggaran Waktu Membaca:
Salman Khan dipatuk ular 2 kali; ditahan 6 jam di hospital

Salman Khan. (Gambar: STR / AFP)

Diterbitkan : 29 Dec 2021 11:40AM Dikemas Kini : 29 Dec 2021 11:40AM

MUMBAI: Bintang Bollywood Salman Khan mendedahkan pengalaman ngeri bagaimana dirinya dipatuk seekor ular sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital selama enam jam.

Selebriti pujaan ramai itu berkongsi bahawa ular tersebut mematuknya dua kali apabila dia cuba untuk mengeluarkan reptilia itu dari rumahnya. Insiden tersebut berlaku di rumah Salman di pinggir bandar Mumbai menjelang ulang tahunnya yang ke-56 pada Isnin (27 Dis).

Salman berkata dia menggunakan kayu untuk "mengangkat ular itu dengan penuh kasih sayang dan membawanya keluar". Namun, ceritanya lanjut kepada wartawan, ular itu mula melilit dirinya pada kayu tersebut.

Setelah dipatuk, para penduduk kampung setempat "menjerit 'hospital, hospital, hospital', mengatakan bahawa saya harus dibawa ke hospital segera," imbas Salman.

Menurutnya lagi, keadaan bertukar kecoh dan ular yang agak berbisa itu kemudian mematuknya sekali lagi.

Pelakon itu diberikan suntikan antiracun dan dipantau selama enam jam di sebuah hospital sebelum dibenarkan pulang.

Salman adalah antara bintang Bollywood yang paling menjadi rebutan ramai walaupun terpalit banyak kontroversi.

Pada 2002, dia didapati bersalah melakukan pembunuhan tanpa niat dalam satu kes langgar lari yang membunuh seorang gelandangan. Ketika insiden berlaku, mangsa sedang tidur di atas kaki lima di Mumbai.

Hukuman penjara Salman selama lima tahun hampir serta-merta dibatalkan oleh sebuah mahkamah tinggi.

Pada 2018 pula, Salman didapati bersalah menembak mati dua rusa antelop yang jarang ditemui sewaktu melakukan pemburuan dua dekad sebelumnya tetapi pelakon itu menafikan telah membunuh haiwan tersebut.

Menurut Salman, ular yang mematuknya terselamat dan sudahpun dikembalikan ke kawasan hutan.

India melaporkan sekitar 58,000 kematian akibat dipatuk ular setiap tahun – atau 160 kes setiap hari - antara tahun 2000 dengan 2019, menurut satu kajian yang diterbitkan tahun lalu.

Sumber : AFP/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa