Skip to main content

Hiburan

Saksikan Kit Chan, penghibur lain di konsert percuma Hari Kebangsaan di Taman di Persisiran

Anggaran Waktu Membaca:
Saksikan Kit Chan, penghibur lain di konsert percuma Hari Kebangsaan di Taman di Persisiran

(Gambar: Instagram/hellokitchan, Mediacorp)

SINGAPURA: Ogos ini, rakyat Singapura boleh menambah satu lagi konsert kepada senarai perkara yang harus dilakukan.

Bezanya, konsert tersebut adalah percuma!

Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman Di Persisiran kembali dengan acara besar-besaran pada 5 Ogos di The Meadow, ruang acara terbesar Taman itu. Konsert percuma tersebut yang berlangsung dari pukul 7.30 malam hingga 9.00 malam akan dihoskan oleh penghibur Vernetta Lopez dan Fauzie Laily.

Para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan, salah satunya ialah Kit Chan (yang akan menyanyikan lagu hitnya Home, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-25) dan Fauzie Laily yang juga akan berganding dengan penyanyi dan penulis lagu baru Umar Sirhan untuk menyanyikan beberapa lagu pop gabungan yang terkenal.

Penyanyi Singapura Mavis Hee akan membuat penampilan, yang jarang berlaku, dengan menyanyikan lagu hitnya, Moonlight In The City, iaitu lagu tema drama Cina Tofu Street.

Penghibur lain termasuk duo Mandopop tempatan, The Freshman, penyanyi Joanna Dong, para peserta musim kedua Juara Mic Junior dan Suthasini Rajendran.

Dalam semangat Hari Kebangsaan yang sebenar, penonton akan menikmati persembahan menampilkan alat muzik tradisional seperti erhu, kompang dan tabla oleh artis-artis Mediacorp termasuk Ayden Sng, Fadli Kamsani dan Jaynesh Isuran.

Para pengunjung digalakkan hadir lebih awal untuk menyertai aktiviti-aktiviti keluarga seperti taman permainan kembung, pemberian snek zaman dahulu, berjalan bersama haiwan peliharaan, gerai gambar dan banyak lagi. Akhiri malam yang dipenuhi keseronokan itu dengan pertunjukan bunga api yang akan menerangi langit malam di Taman di Persisiran.

Acara tersebut akan dihadiri Presiden Halimah Yacob.

"Konsert Mediacorp dan Taman di Persisiran berusaha untuk membawa masyarakat bersama melalui hiburan yang seronok dan mesra keluarga sejak edisi pertamanya pada 2019. Oleh itu, saya gembira melihat konsert itu kembali secara besar-besaran buat pertama kali sejak ia bermula, untuk mengumpulkan lebih ramai orang bersama," kata Puan Halimah.

Konsert tersebut juga akan disiarkan di meWATCH, Channel 5 dan Mediacorp Entertainment di YouTube pada 12 Ogos, pada pukul 7.30 malam sehingga 9.00 malam.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita