Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

S Atan terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 36, kongsi rahsia bertahan 50 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, pada Jumaat (11 Okt) komposer kelahiran Singapura S Atan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 36.

Pemilihan S Atan sebagai penerima anugerah istimewa itu bagi mengiktiraf sumbangan dan bakti beliau dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu, lapor BH Ohline.

S Atan menyifatkan anugerah berprestij diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berkarya.

"Syukur, Alhamdulillah masih ada yang mengiktiraf karya seni saya," katanya seperti dinukil laporan BH Online.

"Anugerah ini menjadi antara pembakar semangat buat orang seni untuk terus berkarya apabila ada yang menghargai idea seni kami.

"Saya dedikasi anugerah ini khas buat mereka yang menghargai setiap hasil karya saya termasuk keluarga yang selalu menyokong," katanya.

S Atan meluahkan rasa syukur dan terharu kerana jasa dan sumbangannya dihargai ketika hayatnya masih ada.

"Bagi saya, kalau nak beri anugerah berilah ketika masih hidup.

"Saya pesan pada isteri, kalau ada mana-mana pihak beri anugerah ketika saya sudah tiada, jangan terima.

"Sebaliknya, kenang saya dalam doa dan jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat saya," pintanya seperti dilaporkan BH Online.

Sehingga kini, S Atan menghasilkan lebih 1,000 lagu.

S Atan juga mendapat jolokan Bapa Lagu Raya apabila mencipta lagu raya termasuk berstatus malar segar seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa, Salam Aidilfitri dan banyak lagi.

Antara penyanyi hebat yang pernah bekerja dengannya termasuk Allahyarham SM Salim, Allahyarhamha Sharifah Aini, Allahyarham Sudirman Arshad, Siti Nurhaliza, DJ Dave, Jamal Abdillah, Sheila Majid, kumpulan Carefree, Black Dog Bone dan ramai lagi.

Hingga hari ini, muzik amat sebati dalam dirinya dan terus diperjuangkan sejak mengenali cabang seni lebih lima dekad lalu.

Bermula bermain 'bonggo', diteruskan pula dengan memetik piano, semangat cintakan seni akhirnya membawa S Atan kepada kedudukannya antara komposer legenda disegani.

Namun, keistimewaan pemilik nama sebenar, Hashim Said, 75, itu dan membezakan dirinya dengan komposer lain adalah jiwa kemelayuan yang cukup menebal dalam setiap karya.

Baginya, elemen muzik Melayu itulah yang membuatkan lagu ciptaannya menjadi malar segar dan terus menjadi pilihan stesen radio untuk diputarkan.

"Setiap kali bila saya mencipta lagu, elemen muzik Melayu kena ada.

"Walaupun menggunakan alat muzik berdawai (string) seperti biola, namun melodi kemelayuan tetap diselitkan.

"Umpamanya, lagu hari raya yang saya hasilkan untuk Sheila Majid berjudul Hari Mulia.

"Walaupun berentak jazz, namun saya selitkan unsur lagu asli.

"Orang Melayu dengan melodi Melayu tidak boleh dipisahkan dan disebabkan itu, kebanyakan lagu saya menjadi malar segar dan masih diminati," katanya kepada BH Online ketika ditemui di kediamannya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Sebagai komposer, S Atan mengakui agak cerewet dan bukan sembarangan artis boleh menyanyikan lagu ciptaannya.

Bagi S Atan, suara adalah instrumen paling diutamakan kerana mencipta lagu untuk didengar, bukan untuk mata yang hanya menilai dari segi paras rupa.

"Ketika bekerja dengan syarikat rakaman, EMI Malaysia, saya pernah buat uji bakat penyanyi Herman Tino.

"Saya ambil Herman Tino sebagai penyanyi berdasarkan suaranya, tetapi keputusan saya dibantah syarikat rakaman hanya kerana tiada rupa.

"Namun, siapa mampu tiru suara macam Herman Tino? Memang tiada. Walaupun tiada rupa, Herman Tino tetap popular.

"Vokal menjadi keutamaan saya dalam memilih penyanyi," tegasnya.

 
Sumber : Agensi berita
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan