Ryzall Noh terjah industri muzik Malaysia dengan ‘Natijah Cinta’, lagu baharu dapat perhatian ERA & Hot FM
Papan iklan digital KLCC yang memaparkan lagu baharu Ryzall Noh (kiri) dan promosi 'Malam Chill ERA' di laman media sosialnya. (Gambar: Instagram/ Ryzall Noh/ era.je)
- Ryzall Noh, vokalis Singapura, hampir meninggalkan muzik selepas dua anggota Audionauts keluar lapan tahun lalu, namun terus berusaha dalam kerjaya solo.
- Beliau berjaya muncul di papan iklan digital KLCC pada akhir Ogos dan menjadi penyanyi Singapura pertama mendapat peluang tersebut.
- Dengan bantuan Roy Idris dan Asraf Aided, Ryzall mempromosikan lagu 'Natijah Cinta' di stesen radio Malaysia dan menerima sambutan positif.
- Ryzall juga memenangi tempat kedua kategori vokalis terbaik di Anugerah Muzik VIMA, dan berharap bakat Singapura lebih disokong untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Siapa sangka, berbekalkan tekad dan kerja keras bakat Singapura ini, Ryzall Noh berjaya menembusi papan iklan digital KLCC pada akhir bulan lalu serta diundang ke stesen-stesen radio Malaysia menerusi lagu baharunya, 'Natijah Cinta'.
Ryzall memberitahu BERITA Mediacorp: "Saya 'over the moon' (gembira bukan kepalang)!
"Saya dipaparkan pada papan iklan digital KLCC selama 15 saat sebanyak lapan kali antara 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, dari 26 Ogos hingga 31 Ogos. Ia perasaan yang luar biasa."
Memetik laporan Astro Gempak, Ryzall Noh juga menjadi penyanyi pertama dari Singapura yang ditampilkan pada papan iklan digital KLCC.
Awal dari itu, Ryzall turut merakam detik istimewa itu dan memuat naik video tersebut ke laman Instagram sambil menulis: "Bangga. Terharu. Bersyukur.
"Ini bukan sahaja tentang menyaksikan wajah saya di layar besar. Ia mencerminkan perjalanan, pengorbanan, penolakan, individu yang yakin (dengan saya), dan pasukan yang terus berusaha gigih bersama saya.
'NATIJAH CINTA' BUKA JALAN RYZALL TEMBUSI RADIO MALAYSIA
Meskipun sudah berkecimpung dalam bidang muzik sejak sekitar 20 tahun lalu, dan bergerak solo sebagai 'independent artiste' sejak hampir 10 tahun lalu, Ryzall akur beliau tetap bergelut dengan cabaran sebagai seorang anak seni.
Maka itu, detik pertemuan dengan seorang rakan lama di Malaysia yang bertukar menjadi kerjasama bagi mempromosikan lagu baharunya tidak disia-siakan Ryzall.
Ryzall berkongsi bahawa rakan lamanya itu, Ruzaimie, yang lebih dikenali dengan nama Roy, juga merupakan bekas pengurus penyanyi Amylea Azizan.
Roy juga mengendalikan pemasaran dan perhubungan awam bagi artis-artis seperti Aisha Retno, bersama seorang lagi rakan bernama Asraf Aided.
"Dua minggu sebelum saya membuat promosi di Malaysia, Roy dan Aided juga menguruskan dan mengendalikan wawancara saya bersama portal-portal hiburan di Malaysia.
MENANG TEMPAT KEDUA PERTANDINGAN VIMA
Malah baru-baru ini juga, Ryzall turut dinobat sebagai pemenang tempat kedua bagi Kategori Vokalis Terbaik Anugerah Muzik VIMA atau 'Voice International Music Awards'.
Bagi Anugerah Muzik VIMA, Ryzall mempertaruhkan lagu 'Darwish' dan menduduki tangga kedua dalam kategori tersebut di belakang Eylia Guntabid dari Malaysia.
BUKA PINTU BAKAT SINGAPURA TEBAR SAYAP KE LUAR NEGARA
Meskipun pencapaian demi pencapaian sudah diraih, Ryzall tetap menzahirkan harapan agar persada muzik di Singapura terus dimeriahkan dan disemarakkan lagi.
"Saya berharap Singapura lebih menyokong bakat Singapura sendiri bagi memberi harapan kami dapat ke luar negara.
"Saya berharap arena muzik Singapura terus bangkit kerana kami mempunyai kualiti, suara yang bagus dan cara nyanyian yang hebat.
"Tiada jalan pintas. Dengan kerja keras, insya-Allah penyanyi-penyanyi muda boleh melakukannya," ujar Ryzall sebelum mengakhir wawancara bersama BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.