Skip to main content

Hiburan

Rumah kelahiran P Ramlee digesa agar dibaik pulih

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah kelahiran P Ramlee digesa agar dibaik pulih

(Gambar: Rais Yatim/Facebook)

Diterbitkan : 27 Sep 2023 03:32PM Dikemas Kini : 27 Sep 2023 03:33PM
GEORGETOWN - Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang menggesa agensi Malaysia yang bertanggungjawabagar segera menjalankan kerja-kerja baik pulih kerosakan yang berlaku pada rumah kelahiran seniman agung itu yang terletak di Jalan P Ramlee di Georgetown, Pulau Pinang.

Presiden kelab itu, Mohd Yussof Latiff berkata, tindakan segera perlu dilakukan supaya rumah berusia hampir 100 tahun itu akan terus terpelihara dan menjadi warisan sejarah negara.

Menurutnya, kerosakan atap dan siling rumah berkenaan dikatakan berlaku sejak tahun lalu namun ia gagal diselesaikan oleh agensi berkenaan, lapor Sinar Harian.

"Tak kan perkara kecil sebegini tak boleh ditangani oleh agensi berkenaan dan saya percaya kos baik pulih pun tidak melibatkan belanja yang terlalu mahal.

"Saya akan berhubung dengan agensi terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan kita mahu kerja-kerja baik pulih segera dibuat bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk pada rumah warisan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu (27 Sep).

Terdahulu, mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim menzahirkan rasa kecewa selepas melihat keadaan rumah kelahiran P Ramlee yang rosak dan keadaan yang menyedihkan itu.

Dalam satu catatan di Facebook, Dr Rais terkejut selepas mendapati atap dan siling rumah asal seniman agung itu hampir roboh akibat kebocoran yang berlarutan.

"Keadaannya amat menyedihkan. Apatah lagi ini rumah P Ramlee seniman idola kita. Menurut penjaga rumah molek warisan itu laporan dibuat dan dikemukakan tahun lalu.

"Tentu sekali roh Ramlee akan nangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar. Saya taksir kerosakan ketirisan ini tak lebih RM15,000...Wahai ketua jabatan, marilah tengok, baikilah cepat," tulisnya, seperti yang ditukil laporan Sinar Harian.

Rumah kelahiran P Ramlee yang terletak di No 4 Jalan P Ramlee dibina pada 1926 oleh bapanya, Teuku Nyak Puteh dan bapa saudaranya, Rejab Husin.

Difahamkan, rumah berkenaan telah beberapa kali dibaik pulih sebelum ini dan kini diambil alih sepenuhnya oleh Arkib Negara.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita