'Rugrats' kembali buat kecoh di TV
Lebih cerdik, lebih besar dan lebih nakal, siri televisyen "Rugrats" bakal kembali di kaca TV pada Khamis (27 Mei) dengan pelbagai mainan baru untuk menghiburkan anda.

Watak 'Rugrats' di 90sFEST Pop Culture & Music Festival pada 12 Sep 2015 di New York. (Gambar: Donald Bowers/Getty Images via AFP)
LOS ANGELES: Lebih cerdik, lebih besar dan lebih nakal, siri televisyen "Rugrats" bakal kembali di kaca TV pada Khamis (27 Mei) dengan pelbagai mainan baru untuk menghiburkan anda.
Setelah 17 tahun sejak tamatnya siri animasi yang memaparkan bayi kelihatan lebih bijak daripada ibu bapa mereka, ketua kumpulan itu Tommy Pickles bersama, Chuckie Finster dan Angelica Pickles sekarang mempunyai teknologi bijak untuk memperdaya orang dewasa yang malang yang sepatutnya menjaga mereka.
"Mereka kini berada pada tahun 2021. Mereka menggunakan telefon bijak, mereka ada komputer, ada video, mereka gunakan Zoom," kata Nancy Cartwright, yang menyumbang suara bagi watak Tommy.
"Rugrats", dilancarkan di wadah penstriman Paramount +, dan menyatukan semula lima pelakon sama yang menyumbang suara memainkan watak Tommy, Chuckie, kembar Phil dan Lil, Susie dan Angelica.
Dilancarkan pada 1991, siri yang meneroka dunia dari kaca mata bayi menjadi fenomena 'pop culture' atau budaya pop yang menghasilkan filem, permainan video, persembahan langsung dan bahkan bijirin dipanggil Reptar Crunch.
Animasi CGI memberikan 'reboot' atau pembikinan semula yang lebih berwarna-warni dan terperinci daripada animasi asal, sementara pengembaraan kanak-kanak itu pula semakin berani.
Dalam episod pertama, sementara kanak-kanak yang lebih muda melakukan perjalanan menyeramkan ke taman tema dinosaur, Angelica pula membuat kacau dengan menggunakan aplikasi temu jodoh dalam telefon bijak datuknya, Grandpa Pickles.
"Dia klik pada semua wanita warga senja dan membuat mereka datang ke rumah untuk mengunjungi datuknya," kata Cheryl Chase, yang memainkan watak Angelica.
Seperti siri asalnya, pembikinan semula ini bertujuan untuk menarik juga minat orang dewasa, kali ini termasuk mereka yang mungkin telah menonton rancangan itu semasa mereka kanak-kanak dulu dan kini mungkin menonton siri baru bersama anak mereka sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.