Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rozita Che Wan lancar set inai harga 'rahmah'

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sejak dilancarkan pada Jun 2022, inai segera mampu milik Mazaville (Inai Che Ta) yang diusahakan pelakon Rozita Che Wan dan Anas Zahrin terus mencuri perhatian.

Malah lebih membanggakan, jenama berkenaan turut diiktiraf menjadi inai pertama dengan konsep telap air dan sah solat penggunaannya secara klinikal di atas kuku manusia, lapor Astro AWANI. 

Baru-baru ini, Rozita - atau lebih mesra disapa Che Ta - melancarkan Set Kuku Letups Che Ta dengan harga ‘rahmah’ iaitu RM25 (S$7.50) dalam sebuah majlis bertemakan Timur Tengah di Glam Hall, Damansara, pada Jumaat (3 Mac). 

Menurut Che Ta, selaku pengasas bersama dan duta jenama inai tersebut, set bakal diedarkan secara rasmi kepada seluruh ejen berdaftar satu Malaysia mulai 6 Mac.

“Kalau sebelum ini kerajaan perkenalkan Menu Rahmah dengan harga murah, kenapa tidak inai juga dihadirkan dengan konsep sama. Malah sejak diusulkan Anas sendiri, saya tak fikir panjang untuk meluluskan keinginannya.

“Harga jualan untuk set ini awalnya dicadangkan pada harga RM60 (S$18), tapi selepas ditimbang tara, kita memutuskan ‘harga rahmah’ berkenaan.

“Saya optimis set ini bakal menjadi kegilaan ramai wanita menjelang hari raya Aidilfitri kelak. Pendek kata ia berkualiti, sah solat, telap air dan tentunya mampu dimiliki semua golongan,” Astro AWANI memetik kata-kata pelakon Malaysia itu. 

Tambah Che Ta lagi, beliau dan Anas turut mengalu-alukan 100,000 wanita, tidak kira status mereka, untuk menjana pendapatan bersama di musim Ramadan dan Aidilfitri ini.

“Lebih kurang RM7 juta (S$2 juta) ingin kami kongsi bersama 100,000 wanita ini untuk projek ‘mega Inai Che Ta’ ini. Jangan berpeluk tubuh lagi, jom sama-sama kita jana pendapatan untuk bulan puasa dan raya ini,” kata Che Ta.

Sementara itu, Anas selaku pengasas utama jenama tersebut menyasarkan lebih 50,000 unit jualan bakal dicapai selama dua bulan dari Mac hingga April di Malaysia.

“Berdasarkan rekod kejayaan kami terdahulu, angka 50,000 untuk dicapai dalam tempoh dua bulan tidak mustahil. Saya dan Che Ta percaya dengan niat kami ingin terus membantu dan berkongsi rezeki dengan semua," ujar Anas. 

Beliau memberitahu Astro AWANI, 'Set Kuku Letups Che Ta' hadir dalam tiga jenis warna.

“Ada warna 'Maroon Rose', 'Red Velvet' dan 'Caramel' yang seakan warna perang atau coklat pekat disatukan dalam set ditawarkan,” kata Anas.

Di acara gilang gemilang penuh mega itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan memukau artis tanah air seperti Shiha Zikir, Alyah, Indah Ruhaila, Bob Yusof, Hazama, Irfan Haris dan Imran Ajmain.

Majlis dianjurkan juga sebagai simbolik ukhuwah Che Ta dan Anas yang sudah terjalin hampir 13 tahun, selain menghargai rakan media dan peminat inai itu.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan