Roti kirai mawar & sushi warna-warni, sentuhan magis ahli silap mata Mystifying Imran
Jika lazimnya roti jala atau roti kirai digulung atau dilipat membentuk segi tiga, lain pula cara Mystifying Imran atau nama sebenarnya Imran Md Ishak.

Roti kirai mawar dan sushi nasi lemak Mystifying Imran. (Gambar-gambar: Imran Md Ishak)
BERITAmediacorp: Selepas 25 tahun memukau orang ramai menerusi pelbagai aksi dan ilusi dalam setiap persembahannya, ahli silap mata tempatan Mystifying Imran, kini mempesona mereka menerusi sentuhan magis pada makanan.
Jika lazimnya roti jala atau roti kirai digulung atau dilipat membentuk segi tiga, lain pula cara Mystifying Imran atau nama sebenarnya Imran Md Ishak.
Ibarat satu, dua, tiga...'Abracadabra'...roti kirai Imran dibentuk indah menjadi kuntuman bunga mawar.
Imran juga menghasilkan beraneka sushi, berwarna-warni lengkap dengan nama-nama unik seperti Rainbow sushi, Unicorn sushi dan Nasi Lemak sushi.
PENDAPATAN AHLI SILAP MATA TERJEJAS DEK COVID-19
Makanan-makanan hasil daya ilham Imran itu merupakan mata pencarian tambahan bagi dirinya, yang terjejas dek pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu.
“Keadaan yang sangat buruk. Semua persembahan saya dibatalkan sehingga kini. Saya kehilangan 25 pertunjukan yang telah ditempah untuk dua bulan. Jadi terpaksa buat pertunjukan maya sahaja sekarang tapi virtual tidak seperti pertunjukan secara langsung," ahli silap mata sepenuh masa itu memberitahu BERITAmediacorp.
Imran juga sering mempamerkan bakat menerusi pertunjukan 'glitter painting' serta lukisan pasir atau 'sand art' apabila beraksi di pentas.
Meskipun pertunjukan-pertunjukan yang dilakukan secara maya melalui Zoom setiap dua bulan sekali itu berbayar, pendapatannya tidak semewah pertunjukan secara langsung.
Lantaran itu, Imran mencari jalan untuk menjana pendapatan tambahan.
SENTUHAN MAGIS: MAKANAN JADI CANTIK, BERWARNA-WARNI
Mujur Imran meminati seni makanan atau 'food art'. Dengan bakat kreatif yang mendarah daging dalam dirinya itu, tercetus idea untuk dia 'mencantikkan' makanan-makanan seperti 'pancake', sushi dan roti kirai.
Dari itu, Imran memutuskan untuk memulakan perniagaan dari rumah dan menjual air tangannya itu.
"Saya suka sushi dan roti kirai. Saya ubah suai sushi kepada nasi lemak sushi. Tiga minggu lepas saya mula membuat roti kirai mawar dengan warna-warna pelangi. Saya cuba berusaha. Mana tahu rezeki itu datang? Nak kasi ia menarik, Imran corakkan roti kirai menjadi bentuk bunga mawar," cerita Imran lagi.
Menurut Imran, seni makanan tiada sempadan. Maka, ia boleh juga dijadikan sebagai hadiah untuk Hari Ibu atau berkat bagi majlis pertunangan. Malah,untuk majlis pertunangan, roti kirai mawar itu diberi gelaran istimewa, iaitu 'Kirai Cinta'.

Apabila ditanya dari manakah Imran belajar mengirai roti jala dan memasak kari ayam, ini jawapannya...
"Saya belajar resepi daripada emak untuk roti kirai dan kari ayam tapi corak bunga mawar itu dari diri sendiri. Saya Google. Bila kari ayam diletak di 'bento', saya hiaskan sikit letak daun pudina dan tomato supaya nampak lebih menarik."
Pada awalnya, Imran berasa kurang yakin dengan diri sendiri. Namun, dia menjadi lebih bersemangat selepas ibunya mengatakan bahawa dia sudah boleh menerima tempahan untuk roti kirai mawar tersebut.

Selain dimakan dengan kari ayam, para pelanggan diberi pilihan untuk mencecah dengan coklat 'Nutella'. Ini kerana kanak-kanak lebih gemar memakan 'Nutella' daripada kari ayam.
"Pada mulanya saya beli (Nutella) tapi nak menyesuaikannya, saya ubah sikit. Saya cairkan balik dan letak bahan-bahan tertentu untuk membuatnya lebih 'milky'," kata Imran.
"SAMBUTAN MENGGALAKKAN"
Sebagai seseorang yang mementingkan kebersihan ketika menyiapkan setiap tempahan, Imran sudahpun mengikuti kursus pengendali makanan terlebih dahulu.
“Penting bagi saya untuk tahu cara-cara makanan disiapkan dengan bersih," ujar jejaka yang merupakan ahli silap mata Melayu pertama yang pernah mempunyai rancangannya sendiri, iaitu Ilusi, di saluran Suria beberapa tahun lalu.
Sejauh ini, sambutan terhadap roti kirai mawar Imran amat menggalakkan setiap kali tempahan dibuka.
Menurut Imran, kawan rapatnya yang mempunyai bisnis kuih-muih tradisional juga membantu untuk berkongsi tentang Imran dan roti kirai mawar itu di platform media sosial.
Merenung tentang keadaan tidak menentu akibat pandemik COVID-19 yang menjejas pendapatan begitu ramai penduduk dunia, Imran menekankan pentingnya untuk sentiasa "mempertingkat diri".
“Saya tetap perlu 'move on' sebab Covid ini membuat kita (perlu) untuk mempertingkatkan diri kita, ambil kursus baru, membina minat yang baru sebagai sumber pendapatan. Untuk sekarang ini, saya fokus pada makanan dulu," ujar Imran, sebelum mengakhiri perbualan untuk sambung mengirai roti jala.
Anda boleh ke Facebook Imran Md Ishak untuk membuat tempahan bagi roti kirai mawar Mystifying Imran dan mencuba sendiri magisnya sentuhan ahli silap mata itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.