Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rossa terbuka berkolaborasi tidak kira populariti pasangan duet

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Indonesia, Rossa, bersedia berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi dalam penghasilan lagu pada masa akan datang tanpa mengira tahap populariti pasangan duetnya.

Pelantun lagu 'Hey Ladies' itu menegaskan bahawa pemilihan pasangan duet tidak semata-mata berdasarkan populariti dan setiap bakat berpotensi untuk mencipta sesuatu yang segar dan bermakna dalam sesebuah karya.

"Biasanya, jika ingin memilih rakan duet, saya akan mendapatkan materialnya (lagu) terlebih dahulu. Apabila lagu sudah ada, barulah saya mencari penyanyi yang bersesuaian.

"Saya tidak kisah sama ada artis itu baharu atau lama, yang penting ada keserasian antara kami... barulah lagu itu akan 'menjadi'," katanya ketika ditemui pada rakaman episod istimewa podcast 'Usanita: Unwrapped Kisah Di Sebalik Spotlight Special Edition With Dato' Sri Rossa', baru-baru ini.

Episod istimewa yang dihoskan oleh pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Adzliana Hasan, dijangka memberi perspektif mendalam mengenai perjalanan kerjaya seni Rossa yang menginspirasi ramai peminatnya di seluruh Nusantara.

Lagu-lagu duet Rossa, atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46 tahun, bersama penyanyi dari Malaysia dan Indonesia sering mendapat tempat di hati peminat sehingga terus menjadi siulan ramai.

Antara penyanyi yang pernah berkolaborasi dengannya termasuk Hafiz Suip menerusi lagu Salahkah, Joe Flizzow (One Night Lover dan Katakan), Ariel Noah (Nada-Nada Cinta), Pasha Ungu (Terlanjur Cinta), Afgan (Kamu Yang Kutunggu), dan Taufik Batisah (Aku Bersahaja).

Ratu pop Indonesia itu turut berkongsi pernah ditawarkan untuk berlakon dalam sinetron, namun cintanya terhadap karier nyanyian yang diceburi lebih dua dekad lalu tetap utuh.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan