Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rossa, Afghan, Ungu antara barisan artis Indonesia bakal adakan konsert di M'sia tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Nampaknya para penggemar muzik Indonesia di Malaysia dan mungkin juga dari Singapura tersenyum lebar kerana bakal dihiburkan dengan deretan konsert oleh bintang-bintang kegemaran mereka pada hujung tahun ini.

Selepas Hetty Koes Endang dan Kunto Aji mengadakan konsert di Kuala Lumpur baru- baru ini, kini giliran nama-nama besar lain Indonesia untuk muncul di Malaysia setelah sekian lama tidak bertemu peminat di sana.

Ini termasuk penyanyi papan atas Rossa, Afgan, Ruth Sahanaya, kumpulan Maliq & D’Essentials dan kumpulan Ungu.

Pastinya peminat bakal 'spoilt for choice' untuk memilih hendak ke konsert tanpa perlu mengharungi kesesakan lalu lintas atau macet kota Jakarta!

BILA KONSERT MEREKA?

Konsert Rossa diadakan pada 2 November ini sempena 25 tahun pembabitannya sebagai seorang penyanyi. Kumpulan band Maliq & D Essentials pula sinonim dengan lagu-lagu soul, funk dan jazz.

Seorang lagi penyanyi Indonesia iaitu Ruth Sahanaya dijangka beraksi pada 11 November 2022. Manakala
kumpulan Ungu akan menghiburkan peminat selama dua malam pada tanggal 18 dan 19 November 2022 sempena ulangtahun ke-26 mereka tahun ini sebagai artis berkumpulan.
Ruth Sahanaya. (Gambar: Shiraz Projects)
Ungu bersama vokalis Pasha bakal membuat kemunculan semula di Kuala Lumpur setelah lima tahun tidak menghiburkan peminat dalam konsert berskala besar.

Pelantun lagu Kaulah Segalanya, iaitu Ruth Sahanaya, juga sudah agak lama tidak mengadakan konsert di Kuala Lumpur, membuatkan peminat rindu kepada penyanyi kecil molek tersebut.

TIKET LARIS DIJUAL

Menyedari hakikat ini, penganjur Shiraz Projects menerbangkan Ruth Sahanaya ke pentas berprestij di Kuala Lumpur iaitu Dewan Philharmonik Petronas menerusi konsert rangkaian Fabulous Friday pada 11 November 2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim: “Kami sudah membawakan beberapa kumpulan dalam rangkaian Fabulous Friday yang terdahulu dan sambutan yang diberikan sangat mengalakkan. Sudah tiba masanya kami membawakan seorang penyanyi lagenda dari seberang untuk khalayak di Kuala Lumpur dan kami sangat berbesar hati mempersembahkan Ruth Sahanaya buat peminat di Malaysia.”

Penganjur konsert Ungu di Kuala Lumpur pula iaitu Star Planet Sdn Bhd baru sahaja mengumumkan penambahan satu malam lagi konsert ulangtahun Ungu atas sambutan luar biasa bagi konsert tersebut.
(Gambar: Star Planet Sdn Bhd)
“Tidak sampai sejam setelah penjualan tiket dilancarkan pada 30 Ogos, lebih 85 peratus tiket habis dijual. Kami amat berbesar hati dan mengharapkan dengan penambahan persembahan kedua Ungu ini dapat menggembirakan semua peminat-peminat Ungu.” kata penganjur kepada BERITAmediacorp.

Ketika dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini, Cik Carmen Liew, Ketua Pegawai Operasi, Star Planet Sdn Bhd menjelaskan bahawa mereka terpanggil mengadakan konsert kumpulan Ungu kerana sememangnya artis-artis Indonesia diminati ramai di Malaysia.

Star Planet Sdn Bhd bertekad untuk menganjurkan lebih banyak lagi konsert pelbagai genre untuk pelbagai peringkat umur yang berbeza di Malaysia.

OPTIMISTIK PENJUALAN TIKET ARTIS UNGU

Tidakkah penganjur risau tentang sambutan konsert Ungu memandangkan begitu ramai sekali penyanyi lain Indonesia turut mengadakan konsert pada hujung tahun ini?
(Gambar: Star Planet Sdn Bhd)
Ini jawapan Cik Carmen pada BERITAMediacorp: “Kami sedar tentang pelbagai konsert artis Indonesia lain dan nampaknya penjualan tiket cukup baik. Ini bukti bahawa artis-artis Indonesia diterima baik oleh peminat-peminat tempatan di sini. Kami rasa optimistik tentang penjualan tiket Ungu kerana kami percaya setiap artis mempunyai pengikut mereka tersendiri dan selalunya peminat terpaksa menunggu untuk beberapa tahun sebelum berpeluang melihat idola favorit mereka beraksi.”

Konsert anjuran Star Planet, “Ungu’s 26th Anniversary Live in Malaysia” akan diadakan pada 18 dan 19 November 2022, pukul 8.30 malam di STAR Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM di Kuala Lumpur.

Peminat boleh mendapatkan tiket di www.ticket2u.com.my.

Semua pembeli tiket VVIP akan menerima poster bertandatangan kumpulan Ungu dan berpeluang bergambar berkumpulan bersama Ungu! Untuk maklumat lanjut, layari www.starplanet.com.my
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan