Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Riwayat hidup Chadwick Boseman diabadikan dalam pameran khas di kampung halamannya

Satu kekosongan dirasakan di Anderson, Carolina pada Ogos apabila Chadwick Boseman anak kelahiran bandar itu yang juga bintang terkenal yang melakonkan watak Black Panther meninggal dunia setelah tewas kepada barah pada usia 43 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Riwayat hidup Chadwick Boseman diabadikan dalam pameran khas di kampung halamannya

Lukisan artis di Carolina Selatan sebagai mengabadikan pelakon Black Panther, Chadwick Boseman (Gambar-gambar: AP/Charles McBryde)

Diterbitkan : 24 Oct 2020 12:50PM Dikemas Kini : 24 Oct 2020 12:55PM

AMERIKA SYARIKAT: Satu kekosongan dirasakan di Anderson, Carolina pada Ogos apabila Chadwick Boseman anak kelahiran bandar itu yang juga bintang terkenal yang melakonkan watak Black Panther meninggal dunia setelah tewas kepada barah pada usia 43 tahun.

Dua bulan kemudian, kekosongan itu diisi secara perlahan-lahan oleh artis-artis tempatan yang memberi penghormatan kepada Boseman dengan menganjurkan satu pameran seni di pusat bandar Anderson, sebuah bandar yang mempunyai sekitar 28,000 penduduk.

Artis tempatan Joey Withinarts mula melukis gambar Boseman beberapa jam selepas mendengar khabar mengenai pemergiannya. Lukisannya adalah antara hampir 20 karya yang dipamerkan dalam projek yang ditaja oleh bandar tersebut.

"Perasaan di sebaliknya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, bahkan cara kita menggabungkannya dengan gaya yang berbeza-beza, adalah sesuatu yang harus disaksikan oleh semua orang," kata Withinarts kepada The Associated Press.

Boseman diangkat menjadi bintang Hollywood setelah memainkan beberapa peranan ikonik seperti Jackie Robinson dan Black Panther. Filem adiwira Marvel itu menjadi salah satu filem terlaris dalam sejarah dan beliau turut memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang melalui watak-watak yang dipegangnya.

Pelakon hebat itu juga tidak pernah membesar-besarkan perjuangannya melawan barah usus besar. Beliau didiagnosis menghidap barah tahap 3 pada 2016 dan terus berkarya walaupun terpaksa menjalani "pembedahan dan rawatan kemoterapi yang tidak terkira banyaknya," kata keluarganya dalam satu kenyataan.

"Beliau menunjukkan kepada kami bahawa tidak kira apa saja yang anda lalui, walau apa pun yang anda harungi, jika anda benar-benar mencintai sesuatu, jangan pernah menyerah kalah mengejar impian anda," kata Withenarts kepada AP.

Pameran itu, yang dibuka kepada orang ramai pada Khamis (22 Okt), menampilkan hampir dua puluh seniman tempatan dari Carolina Selatan. Karya-karya yang dipaparkan di Astaka Wren menampilkan pelbagai aspek kehidupan Boseman, dari masa remajanya hingga ke watak adiwira ikoniknya.

Artis tempatan, Troleum Dawson, yang beliau sendiri merupakan bekas pesakit barah usus besar, mengatakan bahawa projek itu berhasil menyatukan masyarakat.

Penganjur pameran tersebut, Herman Keith Jr menyifatkan riwayat hidup Boseman sebagai mesej kepada anak-anak kecil yang tinggal di bandar kecil seperti Anderson dan kawasan sekitarnya.

"Kesannya terhadap dunia berputik dari tempat yang sama dengan kami, melalui beberapa situasi dan keadaan yang sama yang kami lalui, dan untuk melihat beliau berjaya mempengaruhi dunia seperti yang beliau lakukan, ia sangat memberangsangkan," kata Keith.

Karya-karya seni itu dipamerkan pada cetakan digital yang dilekatkan pada tembok astaka. Bandar itu berharap dapat mengekalkan pameran tersebut sekurang-kurangnya selama setahun. 

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan