Rhoma Irama tidak bimbang jika kerjaya muzik, populariti anaknya terjejas
Ridho Rhoma, anak penyanyi dangdut legenda Rhoma Irama, sedang menjalani hukuman di balik jeriji setelah disabit kesalahan memiliki dadah syabu.

Rhoma Irama. (Gambar: Rhoma Irama/Instagram)
INDONESIA: Ridho Rhoma, anak penyanyi dangdut legenda Rhoma Irama, sedang menjalani hukuman di balik jeriji setelah disabit kesalahan memiliki dadah syabu.
Namun Rhoma Irama berkata ini tidak menghalang anaknya untuk terus bergiat dalam industri muzik, lapor laman Kapan Lagi.
"Iya, Ridho bikin lagu dalam penjara. Dia gembira (di penjara) kerana ada hikmahnya, dia boleh mencipta lagu. Untuk dirakam nanti bila sudah dibebaskan dan kami sudah berbincang bagaimana untuk melancarkan (lagunya), buat 'comeback'.
"Iya (kami akan terus bantu), harus. (Dia dibebaskan kalau tidak Januari mungkin Februari, kalau tidak silap," tambah Rhhoma Irama semasa ditemui di rumahnya di Jalan Pondok Jaya VI, Mampang, Jakarta Selatan semalam (28 Dis).

Ridho Rhoma yang ditangkap atas kesalahan menyalahgunakan dadah. (Gambar: Ridho Rhoma/Instagram)
Apabila ditanya tentang kemungkinan populariti Ridho akan terjejas memandangkan dia sudah lama menyepi, Raja Dangdut itu dengan tegas berkata beliau sama sekali tidak bimbang, menurut laman Kapan Lagi.
"Tapi gejala itu saya lihat tidak ada di masyarakat. Ada selebriti yang masuk ke sana (pusat pemulihan), biasa saja. Masuk, disebabkan apa, begitu keluar, masih diterima. Kenapa? Kerana masyarakat Indonesia bahkan dunia sudah tahu bahwa dadah itu menyerang siapa saja. Dadah itu memang musuh kemanusiaan, musuh bersama. Jadi korban-korban itu adalah orang-orang yang diserang oleh dadah," tambah beliau.
Lantaran itu, Rhoma Irama berkata beliau akan terus menyokong anaknya supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan jauh daripada ubat-ubatan terlarang, lapor laman Kapan Lagi.
"Yang penting dia bukan pengedar. Pengedar itu perosak bangsa. Kalau mangsa (dadah) harus kita lindungi, harus kita sokong dengan betul," ujar Rhoma Irama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.