Skip to main content

Hiburan

REVIU KONSERT: Anuar Zain tidak mengecewakan Singapura

Memukau. Lebih tepat lagi, memukau 3,000 peminatnya melalui senarai lagu-lagu popular lama dan barunya termasuk Bila Resah, Ketulusan Hati, Mungkin, Jangan Bersedih Lagi, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir dan Selamat Malam. Yang pasti, Anuar Zain tidak mengewakan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
REVIU KONSERT: Anuar Zain tidak mengecewakan Singapura

Konsert Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live di Singapura pada 26 Oktober 2018 di The Star Theatre. (Gambar-gambar: Hype Records)

Diterbitkan : 02 Nov 2018 11:29PM Dikemas Kini : 03 Nov 2018 04:40PM

BERITAmediacorp: Memukau. Lebih tepat lagi, memukau 3,000 peminatnya melalui senarai lagu-lagu popular lama dan barunya termasuk Bila Resah, Ketulusan Hati, Mungkin, Jangan Bersedih Lagi, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir dan Selamat Malam. Yang pasti, Anuar Zain tidak mengewakan Singapura.

Itulah yang dapat dikatakan mengenai konsert Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live di Singapura, pada 26 Oktober 2018 lalu di The Star Theatre.

Berbekalkan pengalaman menyanyi selama tiga dekad lamanya, lontaran vokal penyanyi yang merangkul anugerah Penyanyi Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2017 anjuran Mediacorp terserlah sekali menerusi penjiwaannya yang menusuk kalbu lebih-lebih lagi apabila beliau membawakan lagu-lagu berentak balada.

Aura penyanyi tersebut apabila memasuki pentas untuk konsert menerusi lagu Sesucinya Cinta dapat dirasakan dengan jelas sekali apabila audiens kelihatan teruja melihat penyanyi kesayangan mereka itu membuka tirai konsert pada malam tersebut.

Lagu rancak Anuar Zain berjudul Bila Resah dapat menghangatkan malam konsert tersebut apabila ramai juga peminat sanggup berdiri sambil menyanyi bersama ketika Anuar mengalunkan lagu tersebut.

Related article image

Salah sebuah lagu hits balada beliau berjudul Jangan Bersedih Lagi turut diberi susunan muzik yang berbeza dan segar oleh pengarah muzik bernama Cik Lee Sze Wan yang pernah bekerjasama dengan penyanyi tersebut sebelum ini.

Anuar membawakan sejumlah 15 buah lagu-lagu hits beliau untuk konsert anjuran Hype Records itu. Inilah konsert solo kedua penyanyi tersebut bertempat di The Star Theatre. Kali pertama konsertnya di lokasi yang gah itu adalah pada tahun 2015.

Penjiwaan Anuar Zain terhadap repertoire lagu-lagunya pada malam tersebut mencerminkan keikhlasan beliau menyampaikannya setiap kali beliau berkonsert.
Inilah yang membuat audiens rasa terpukau dengan persembahan penyanyi tersebut sehingga mereka tidak mahu berganjak dari tempat duduk mereka lebih-lebih lagi apabila Anuar mengalunkan sejumlah lagu-lagu baladanya yang boleh membuat peminat wanita khususnya “cair” pada malam tersebut.

Sama seperti lagu-lagu balada nyanyian beliau, ia turut membuat penonton terpaku seketika sambil menyaksikan penayangan klip video tersebut yang merupakan kesinambungan kepada klip-klip MTV beliau sebelum ini berjudul Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir. Beliau turut mempersembahkan lagu hits Cinta Takkan Berakhir yang turut diangkat menjadi tajuk konsert solonya itu.

Konsert turut dihadiri oleh kakak kepada Anuar Zain iaitu penyanyi Ziana Zain, Taufik Batisah dan Hyrul Anuar dari Singapura. BERITAmediacorp difahamkan, Ziana Zain turut mendapat perhatian peminat-peminat yang ingin merakamkan foto bersama penyanyi tersebut sejurus selepas konsert berakhir.

Rata-rata, peminat-peminat Anuar berpuas hati apabila beliau turun dari pentas ketika membawakan lagu Ajari Aku untuk mendekati mereka sambil memberi peluang kepada mereka untuk bergambar dan berselfie termasuk mereka yang duduk di barisan belakang. Mungkin saat inilah yang dinanti-nantikan oleh mereka untuk melihat penyanyi kesayangan mereka dengan lebih dekat lagi.

Elemen kejutan yang dirahsiakan oleh penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka itu terjawab apabila beliau menyampaikan lagu nyanyian penyanyi Singapura, Imran Ajmain, berjudul Seribu Tahun. Ceritanya, kali pertama beliau mendengar lagu tersebut ialah pada tahun 2005.

Anuar diingatkan kembali mengenai lagu tersebut oleh penyanyi Ernie Zakri baru-baru ini, mempunyai pertalian darah dengan beliau.

Selama hampir 90 minit, penonton seakan dibuai dengan karisma penyanyi yang sebelum ini pernah memenangi pelbagai anugerah untuk pertandingan Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Industri Muzik.

Related article image

Anuar sempat menawan hati peminat-peminat tegarnya pada penghujung konsertnya apabila beliau memberi peluang kepada mereka untuk memilih lagu-lagu agar dapat disampaikan secara acapella termasuk lagu Kain Pelikat yang pernah dibawakan bersama Ellina sebelum ini. Kegembiraan audiens terserlah kerana sudah sekian lama mereka tidak mendengar Anuar membawakan lagu tersebut secara ‘live’.

Untuk “encore’ pula, Anuar Zain menghadiahkan dua buah lagu balada popularnya berjudul Lelaki Ini dan Sedetik Lebih memandangkan penonton tidak mahu berganjak dan pulang.

Bersesuaian dengan seorang penyanyi dengan kehebatan vokal yang disifatkan sebagai seorang Ikon Muzik Melayu, beliau menerima "standing-ovation" pada penghujung konsert dari para penonton yang berpuas hati dengan persembahan penyanyi Malaysia itu.

Beliau sempat mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua yang menyokong konsertnya di Instagram rasmi Anuar Zain Network. Menyifatkan para peminatnya sebagai “bertenaga, happening dan awesome”, Anuar Zain turut mengatakan:
“Saya rasa cukup bahagia kerana dapat bersama-sama anda... Saya sangat enjoy dan harap anda juga begitu. Kita sama-sama bahagia hari ini. Terimakasih banyak-banyak kerana membuat salah satu mimpi saya tercapai.” 

(Freda Hassan adalah seorang penulis sambilan.)

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita