Remaja Thailand dinobat juara 'America's Got Talent'; terima pujian PM Anutin
Pemuzik Thailand Rattikarn “Nene Royal” Amloy (dua dari kanan), 16 tahun, bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul (kanan) di Rumah Pemerintah di Bangkok pada 14 Julai 2026. (Gambar fail: AFP/Thai News Pix/Arnun Chonmahatrakool)
- Nene Royal, or Rattikarn Amloy, a 16-year-old rock teenager from Phuket, won America's Got Talent on Sep 24 and took home US$1 million.
- Her victory in California made her the first Thai to win the show, after energetic guitar performances and rock vocals that impressed the judges and audience.
- In Thailand, her schoolmates and teachers watched together, while principal Gareth Eynon praised Nene as a talented, humble student and a role model for younger pupils.
- Nene, who learned guitar through online videos and had honed her talent at Phuket night markets, received congratulations from PM Anutin for making the Thai people proud.
- Nene Royal, atau Rattikarn Amloy, remaja rok 16 tahun dari Phuket, memenangi America's Got Talent pada 24 Sep dan membawa pulang AS$1 juta.
- Kemenangannya di California menjadikannya warga Thailand pertama menjuarai rancangan itu, selepas persembahan gitar bertenaga dan vokal rok yang memukau juri serta penonton.
- Di Thailand, rakan sekolah dan guru menonton bersama, sementara pengetua Gareth Eynon memuji Nene sebagai pelajar berbakat, rendah hati dan teladan kepada murid muda.
- Nene, yang belajar gitar melalui video online dan pernah mengasah bakat di pasar malam Phuket, menerima tahniah PM Anutin kerana membanggakan rakyat Thailand.
Nene Royal, atau nama sebenarnya Rattikarn Amloy, membawa pulang hadiah AS$1 juta (S$1.28 juta) selepas dinobatkan sebagai juara 'America's Got Talent', setelah memukau para juri dan penonton dengan petikan solo gitar yang bertenaga serta vokal roknya.
Remaja dari pulau Phuket itu menjadi semakin dikenali di Thailand sejak menyertai pertandingan tersebut dan pernah membuat persembahan bersama Perdana Menteri Anutin Charnvirakul pada Julai.
Ketika persembahan akhir Nene disiarkan di televisyen, rakan sekolah dan gurunya di tanah air berkumpul untuk menonton dan memberikan sokongan.
Detik beliau dinobatkan sebagai juara - warga Thailand pertama memenangi rancangan televisyen popular itu - cukup “mengujakan”, kata pengetua Sekolah Antarabangsa Kajonkiet Phuket, Gareth Eynon, kepada AFP.
“Semua orang, daripada yang berusia dua hingga 18 tahun, berada di sana memberikan sokongan kepadanya,” katanya.
“Dia sangat berbakat, namun begitu merendah diri,” tambah Encik Eynon.
Menurutnya, Nene tidak perlu sentiasa “berada di tengah-tengah pentas” ketika persembahan sekolah dan sama gembira membantu serta memberikan galakan kepada pelajar muzik yang kurang berpengalaman.
“Dia benar-benar menjadi suri teladan yang luar biasa kepada kanak-kanak lebih muda di sekolah.”
‘JATUH CINTA’ SEJAK PETIKAN KORD PERTAMA
Nene, yang berkata beliau mula bermain gitar pada usia tujuh tahun, rebah ke lantai pentas di California apabila kemenangannya diumumkan.
“Saya sangat gembira dan sekarang saya benar-benar sebak,” kata pemuzik muda itu, yang mengalahkan seorang ahli silap mata untuk muncul juara.
Dalam persembahan akhirnya, beliau bermain gitar dan menyanyi bersama kumpulan muzik Amerika, Linkin Park.
Video persembahannya sebelum ini yang membawakan lagu rok alternatif klasik seperti 'Zombie' oleh The Cranberries dan 'Black Hole Sun' oleh Soundgarden menjadi tular di Thailand.
PM Anutin, yang kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengucapkan tahniah kepada Nene dan memuji bakat serta dedikasinya yang “membanggakan rakyat Thailand”, menurut Timbalan Jurucakap Pemerintah Ploythalay Laksameesaengjan.
Nene berkata beliau mempelajari cara bermain gitar kebanyakannya dengan menonton video online sebelum mendapat biasiswa muzik untuk belajar di sekolah antarabangsa swasta itu.
“Apabila saya memainkan kord pertama, saya terus jatuh cinta dan terfikir - saya akan menjadi bintang rok wanita,” katanya dalam wawancara bersama AGT.
Pasar malam di Phuket, tempat Nene mula mengasah bakatnya, turut menyifatkan beliau sebagai sumber inspirasi.
“Kemenangan ini merupakan peringatan indah tentang apa yang boleh dicapai apabila seseorang benar-benar memberikan segala-galanya untuk mengejar impiannya,” menurut catatan media sosial pasar malam tersebut.
Pengetua Encik Eynon berkata beliau tidak tahu sama ada atau bila Nene akan kembali ke sekolah, sambil menyatakan bahawa peluang yang kini terbuka untuknya “tiada batasannya”.
Namun, beliau menegaskan: “Kami sentiasa ada untuknya dan akan terus menyokongnya.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.