Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rakyat Malaysia bangga menara Merdeka 118 dipaparkan dalam filem Marvel 'Thunderbolts'

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Malaysia bangga menara Merdeka 118 dipaparkan dalam filem Marvel 'Thunderbolts'

Gambar petikan skrin dari video. (Gambar: YouTube/Marvel Entertainment)

Diterbitkan : 03 May 2025 12:25PM Dikemas Kini : 03 May 2025 12:27PM
KUALA LUMPUR: Filem adiwira terbaharu Marvel Studios, Thunderbolts memaparkan mercu tanda baharu Malaysia Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia.

Buat julung kali pencakar langit setinggi 678.9 meter milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikatnya PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd itu, dipilih sebagai lokasi penggambaran filem Hollywood berkenaan yang mula ditayangkan di pawagam pada Isnin (1 Mei).

Perasaan bangga rakyat Malaysia merupakan antara komen yang banyak diluahkan di laman media sosial apabila nama negara disebut beberapa kali dalam filem Thunderbolts itu.

“Rasa bangga nama Malaysia terpahat di salah satu movie antarabangsa,” komen ApiZ dalam laman Tiktok. 

Seorang lagi warganet, Saiful Nizam berkongsi ‘Saya bangga jadi anak Malaysia,’.

Turut berkongsi perasaan teruja ialah pengulas filem Shahril Izzat Rosli atau lebih dikenali dengan nama akaun TikToknya Shahril Pencinta Muvee.

Shahril, 32 tahun, yang juga seorang guru berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau berasa bangga apabila menonton mercu tanda negara dalam filem antarabangsa yang sekali gus akan memperkenalkan Malaysia ke persada dunia.

“Sudah tentu saya sangat teruja dan bangga apabila melihat mercu tanda negara muncul dalam filem Hollywood, apatah lagi filem Marvel yang mempunyai peminat tersendiri dari seluruh dunia.

“Bukan sekali tapi berulang kali nama Malaysia dan Kuala Lumpur disebut dalam filem berkenaan, memang sesuatu yang amat membanggakan,” katanya kepada Bernama.

Shahril berkata filem tersebut juga membuatkan Malaysia lebih dikenali khususnya dalam kalangan peminat karya Marvel.

Sebelum ini Marvel Studios berkongsi babak di sebalik tabir pembikinan filem tersebut yang menunjukkan aksi terjunan lagak ngeri pelakon utama Thunderbolts, Florence Pugh dari puncak Merdeka 118 dan video berkenaan mencuri tumpuan ramai terutama dalam kalangan penggemar filem Marvel di Malaysia.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan