Puteri Johor lawat Zaibo bagi beri sokongan hadapi barah
Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, pada Isnin (12 Nov) berkenan melawat pelakon veteran dan pelawak Zainal Ariffin Abdul Hamid, atau yang lebih dikenali sebagai Zaibo, yang kini bertarung dengan penyakit barah.

Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, semasa melawat pelakon veteran dan pelawak Zainal Ariffin Abdul Hamid. (Gambar: The Royal Johor/Facebook)
PETALING JAYA: Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, pada Isnin (12 Nov) berkenan melawat pelakon veteran dan pelawak Zainal Ariffin Abdul Hamid, atau yang lebih dikenali sebagai Zaibo, yang kini bertarung dengan penyakit barah.
Video yang dimuat naik ke laman Facebook The Royal Johor semalam (12 Nov) menunjukkan Tunku Tun Aminah diiringi oleh suaminya Dennis Muhammad Abdullah, serta wakil dari Yayasan Kanser Laksamana Johor semasa lawatan ke kediaman Zaibo di Rengit, Batu Pahat.
Menurut laporan Astro Awani, Tunku Tun Aminah melawat Zaibo selepas membaca kisah pelakon dan pelawak itu di dalam akhbar bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat dalam menentang penyakit barah.
Zaibo, 62 tahun, disahkan menghidap barah esofagus tahap empat pada tahun ini dan berjuang bertarung barah itu sejak September lalu.
Kekanda Tunku Tun Aminah iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Sultan Ibrahim juga merupakan pesakit barah dan meninggal dunia pada 5 Disember 2015 lalu.
Zaibo terkenal sebagai memainkan watak penjual mee rebus bernama Yusof dalam sitkom 'Under One Roof,' yang pertama kali disiarkan pada tahun 1995.
Beliau juga pernah memainkan watak kecil dalam filem Hollywood, Anna dan The King.
Tunku Aminah turut berkongsi pernah menonton sitkom Under One Roof yang dilakonkan pelakon itu.
"Saya pernah menonton 'Under One Roof' semasa membesar. Saya memberitahu suami saya betapa lucu anda dan menunjukkan kepadanya video anda," kata Tunku Tun Aminah, seperti yang dipetik oleh Astro Awani.
Lawatan diraja itu memberi sedikit kecerian kepada pelakon tersebut.
Sementara itu, Zaibo mengucapkan terima kasih dengan kunjungan daripada Tunku Tun Aminah.
Astro Awani menukil beliau sebagai berkata: “Saya sangat berterima kasih dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tunku Tun Aminah, suami dan seluruh keluarga Sultan Ibrahim.
Berkat kunjungan baginda, saya mendapat perhatian daripada banyak pihak dari seluruh Johor. Sokongan moral ini amat bermakna kepada saya seisi keluarga."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.