Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Projek prekuel Mat Kilau tidak libatkan Syamsul, Adi dan Beto

Anggaran Waktu Membaca:
Projek prekuel Mat Kilau tidak libatkan Syamsul, Adi dan Beto

(Gambar: Instagram/Studio Kembara)

BANGI: Projek filem prekuel 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' tidak melibatkan tiga tunjang utama iaitu pengarah Syamsul Yusof, Adi Putra dan Beto Kusyairy, lapor BH Online.

Memberi perincian lanjut, penerbit Studio Kembara Abdul Rahman Mt Dali menjelaskan watak Mat Kilau Imam Rasu, lakonan Adi Putra, dan Wahid, yang dihidupkan Beto, "tidak ada kena-mengena" dengan jalan cerita projek prekuel naskhah tersebut.

"Memang ada beberapa pelakon sudah ditawarkan watak kecuali Adi Putra dan Beto kerana watak mereka masih belum diperlukan dalam projek prekuel itu.

"Ketiadaan Syamsul pula disebabkan syarikat mahu memberi peluang kepada pengarah lain.

"Kami tiada masalah, cuma, kali ini mahu memberi peluang kepada pengarah baru untuk berkarya bersama Studio Kembara bagi memeriahkan lagi industri perfileman," kata beliau kepada BH Online.

Encik Abdul Rahman juga menyangkal dakwaan mengenai hubungan keruh dengan Syamsul, Adi dan Beto.

"Kami tiada masalah dan bersikap profesional. Tetapi, kami memang sudah lama tidak berkomunikasi kerana masing-masing sibuk," katanya.

Berkongsi projek pembikinan filem prekuel itu, Encik Abdul Rahman berkata naskhah itu akan mula menjalani penggambaran akhir tahun ini atau selewat-lewatnya, awal tahun depan.

"Ada pelakon yang sudah kami buat tawaran dan mereka bersetuju. Malah, kami juga sudah membayar wang pendahuluan," katanya kepada BH Online.

Beliau juga mengulas mengenai pemberian bonus atas kejayaan filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' meraih kutipan hampir RM100 juta (S$30 juta).

"Sebelum agih imbuhan atau bonus, saya akan bawa pelakon mengerjakan umrah.

"Fasa kedua pula adalah memberi sumbangan dua mesin dialisis untuk kegunaan masyarakat.

"Ini dianggap tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat. Kemudian, barulah kita agih imbuhan kepada pasukan kerja filem Mat Kilau.

"Setiap daripada mereka akan menerima jumlah imbuhan berbeza dan berdasarkan prestasi," katanya.

Filem Mat Kilau yang mencatat kutipan RM97 juta (S$29.79 juta) sejak ditayangkan 23 Jun lalu muncul filem tempatan yang mencapai jualan tiket tertinggi dalam sejarah.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan