Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Program tarian klasik India dibatalkan Universiti Teknologi M'sia sebab 'kesesuaian program'

Program perkongsian melibatkan tokoh tarian klasik India terkenal Ramli Ibrahim dibatalkan atas sebab "kesesuaian program".

Anggaran Waktu Membaca:
Program tarian klasik India dibatalkan Universiti Teknologi M'sia sebab 'kesesuaian program'

Ramli Ibrahim dalam salah sebuah pementasan pada 2018. (Gambar: Sutra Foundation/Facebook)

Diterbitkan : 07 Jun 2021 08:58AM Dikemas Kini : 07 Jun 2021 09:08AM

PETALING JAYA: Program perkongsian melibatkan tokoh tarian klasik India terkenal Ramli Ibrahim dibatalkan atas sebab "kesesuaian program".

Demikian menurut kenyataan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam (6 Jun) sebagai respons kepada Encik Ramli yang menyuarakan kekecewaannya terhadap pembatalan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa (MISTAR’21), lapor Malaysiakini.

“Mesyuarat Pengurusan Pusat Islam UTM telah bermusyawarah dan bersepakat menasihatkan agar pelaksanaan program ini tidak diteruskan atas faktor kesesuaian program.

“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan Garis Panduan Peraturan Kebudayaan dan Kesenian UTM yang mana pelaksanaan setiap program di bawah aliran ini perlu dirujuk dan diluluskan penganjurannya oleh pihak Pusat Islam UTM.

“Keputusan Pusat Islam UTM mewakili pendirian universiti, menitikberatkan pengisian program yang tidak menyinggung mana-mana pihak serta seimbang daripada pelbagai aspek termasuk kepelbagaian, kesejahteraan dan kerohanian,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Encik Ramli yang pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk dinobatkan sebagai UNESCO Living Treasure oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial tentang pembatalan oleh Pusat Islam UTM tanpa alasan yang jelas.

Ketika dihubungi Free Malaysia Today, Encik Ramli berkata, meskipun terkilan dengan keputusan itu, beliau tidak terkejut kerana ini bukan kali pertama dirinya menerima layanan sedemikian.

Bagaimanapun, beliau bimbang “beberapa pusat Islam di universiti tempatan menapis dasar kebudayaan institusi berkenaan” secara keterlaluan.

“Kontroversi seorang Melayu mempersembahkan tarian (klasikal) Hindu sudah wujud sekian lama,” kata Encik Ramli kepada Free Malaysia Today.

Tambahnya, beliau bersetuju menyertai wacana di universiti itu kerana mahu mendedahkan pelajar Melayu kepada kebudayaan inklusif memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Munurut laporan Malaysiakini, UTM memohon maaf kepada Encik Ramli atas kesulitan yang berlaku dan berharap beliau terus memberi sokongan terhadap program universiti pada masa akan datang melalui platform yang berbeza.

Sumber : Agensi berita/SM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa