Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Presiden Persatuan Pengarah Filem M'sia rayu benarkan semula penggambaran

"Kami penggiat seni nak shooting minggu ini. Kami bersedia dan akur dengan SOP yang ada. Mohon kelulusan."

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Persatuan Pengarah Filem M'sia rayu benarkan semula penggambaran

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 May 2020 01:41PM Dikemas Kini : 12 May 2020 01:43PM

KUALA LUMPUR: "Kami penggiat seni nak shooting minggu ini. Kami bersedia dan akur dengan SOP yang ada. Mohon kelulusan."

Begitulah catatan terbaru yang dimuatnaikkan oleh Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau juga dikenali sebagai Mat London, dalam laman Facebooknya awal pagi ini (12 Mei).

"Penggambaran 'indoor' dengan jumlah kru kurang daripada lima orang patut dibenarkan. Produksi filem dan TV agak sukar nak kawal penggambaran berskala besar walaupun ada kawalan serta pemantauan rapi," tulisnya.

Catatan itu, ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa serta Industri dan Majlis Keselamatan Negara, dibuat menyusuli kelonggaran yang diberi kepada beberapa sektor industri untuk beroperasi semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei lalu.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini, Dr Ahmad berkata anggaran 50 syarikat penerbitan mengemukakan permohonan penggambaran filem, iklan dan program televisyen setiap bulan sebelum PKP dikuatkuasakan.

"Syarikat penerbitan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa menangguhkan kerja penerbitan berikutan penguatkuasaan PKP bermula 18 Mac lepas. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan para pekerja termasuk ahli FDAM yang kebanyakannya pengarah sambilan tanpa pendapatan tetap," jelas beliau.

Dr Ahmad menambah FDAM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia sudahpun melancarkan tabung bantuan baru-baru ini bagi meringankan beban ahli.

"FDAM sentiasa menerima maklum balas dan keluhan ahli yang tidak dapat meneruskan tugas dan menjejaskan mata pencarian mereka. Malah, ada di antara mereka terpaksa membuat kerja lain seperti penjualan makanan dalam talian untuk menampung hidup.

"Hampir 100 ahli kami yang kritikal telah menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM200 (S$65) seorang," ujarnya.

FDAM, yang ditubuhkan pada 1990, kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan