Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Polis rakam keterangan Harith Iskander atas catatan persenda Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Polis rakam keterangan Harith Iskander atas catatan persenda Islam

(Gambar: Harith Iskander/Facebook)

Diterbitkan : 24 Jan 2025 09:58PM Dikemas Kini : 24 Jan 2025 09:59PM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon, Harith Iskander pada Rabu (22 Jan) berhubung catatan di akaun Facebooknya mengenai isu 'ham' yang didakwa menghina agama Islam, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai 'Cecelia Yap Song' yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM masih dalam proses mengesan individu terbabit.

"Setakat ini satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada Jumaat, seperti dinukil Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya setakat ini menerima sebanyak 16 aduan polis berkaitan isu tersebut di seluruh negara.

Pada Selasa lalu, Harith Iskander, 54 tahun, didakwa memuat naik catatan sekeping gambar di Facebook menunjukkan segelas kopi dinamakan 'ham sap kopi' berharga RM5.50 (S$1.70).

Dalam catatan itu, pelawak selebriti tersebut menyatakan dia "berasa keliru dan imannya tergugat".

"Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.

"Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan 'ham' di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?

"Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?" tulisnya, seperti dipetik Sinar Harian.

Catatan berkenaan kemudian dipercayai telah membuka ruang untuk mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada catatan itu yang dipercayai mengaitkan 'ham' dengan nama Nabi Muhammad SAW.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan