Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Polis M'sia terima aduan, dua kru penerbitan filem Mentega Terbang diugut

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Polis menerima dua laporan berkaitan kes jenayah khianat harta benda dan ugutan jenayah daripada dua kru penerbitan filem ‘Mentega Terbang’ pada Khamis (16 Mac). 

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata seorang daripada kru itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang selepas keretanya jenis Proton Saga disimbah cat serta menjumpai helaian kertas nota tulisan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawanya di tempat letak kereta di Taman Dagang Jaya, Ampang pada pukul 6.30 pagi. 

Encik Hussein dalam kenyataan pada Jumaat (17 Mac) berkata seorang lagi kru filem berkenaan membuat laporan polis di IPD Kajang pada pukul 7.00 pagi selepas pengadu mendakwa kenderaannya telah dibaling dengan plastik lutsinar berisi cecair cat pada pukul 3.15 pagi.

“Turut ditemukan satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan-perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu,” katanya.

Menurut Encik Hussein, mangsa juga turut menerima mesej melalui telefon yang berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarganya.

Encik Hussein berkata menyusuli dua laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dan IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara. Polis mengambil serius kejadian ini dan akan menyiasat sehingga mereka yang terlibat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung dengan kedua-dua kejadian itu agar tampil membantu pihak polis.

“Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes ini iaitu Insp Mu’az Mazlan menerusi talian 017-9788804 IPD Kajang dan Insp Alif 018-9834211 IPD Ampang bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada Rabu lalu (8 Mac), polis selesai mengambil keterangan penerbit dan enam pelakon berhubung kes filem berkenaan.

Filem ‘Mentega Terbang’ yang disiarkan secara percuma di platform penstriman digital, mendapat bantahan umat Islam di negara itu kerana didakwa mengandungi unsur-unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah.

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan