Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Polis Malaysia berkas lelaki ugut penyanyi Baby Shima

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia berkas lelaki ugut penyanyi Baby Shima

(Gambar: Instagram/babyshimaofficial)

SIBU: Seorang lelaki yang mengeluarkan hantaran berbaur ugutan dan mengancam keselamatan penyanyi popular Nor Ashima Ramli atau Baby Shima pada 30 Disember (Khamis) di platform media sosial, telah diberkas polis di Kota Sentosa Kuching pada Selasa (31 Dis).

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada pukul 9.15 malam dan telefon bijak miliknya dirampas.

Suspek sudah dibawa ke Sibu untuk proses permohonan reman pada Isnin (1 Jan).

Encik Zulkipli berkata pada lebih kurang 11.31 malam pada Isnin lalu, pihak polis menerima satu aduan daripada penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Bujang Sarawak’ itu setelah terbaca komen dibuat suspek tidak dikenali di platform media sosial yang berbaur ugutan dan mengancam keselamatannya.

Baby Shima berada di Sibu ketika itu atas urusan kerja.

“Siasatan telah dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika membuat sebarang komen atau memuat naik apa-apa kenyataan di platform media sosial, supaya tidak melampaui batas dan menyalahi undang-undang.

Baby Shima membuat aduan tersebut di Balai Polis Sibu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Baby Shima merupakan antara artis jemputan yang membuat persembahan pentas pada acara sambutan ambang tahun baharu 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, pada Selasa malam.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan