Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

PM M'sia Anwar tersentuh, puji garapan filem 'Anwar: The Untold Story' angkat kisah perjuangannya

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memuji keseluruhan jalan cerita filem 'Anwar: The Untold Story' iaitu naskhah yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik di Malaysia.

Kata Encik Anwar, konteks diketengahkan dalam filem berkenaan juga adalah betul, namun sukar sekiranya pihak produksi mahu merumuskan keseluruhan kisah yang berlaku kepada dirinya ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

"Saya menonton filem ini buat kali pertama, tetapi selebihnya saya serahkan hak filem ini kepada penerbit. Filem ini bebas, kreatif dan jalan ceritanya juga temubual ramai orang. Sinematografi filem ini juga sangat baik.

"Peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih sudah tentunya tidak mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman pihak produksi," katanya, dipetik daripada agensi berita BH Online.

Encik Anwar berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem 'Anwar: The Untold Story' di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, pada malam Isnin (8 Mei).

Dalam masa yang sama, Encik Anwar menjelaskan, beliau bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada penerbit dan pengarah filem untuk menggarap jalan cerita supaya menjadi lebih menarik.

"Disebabkan ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti itu harus ada. Kita berikan ruang agak bebas (terhadap filem). Kerana saya percaya dalam pembikinan hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan.

"Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya tersentuh," katanya, lapor BH Online.

Sementara itu, isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, filem 'Anwar: The Untold Story' mampu menangkis persepsi buruk yang sudah diberikan kepada suaminya sejak dahulu.

"Filem ini memberi gambaran bagaimana perjalanan kami suatu ketika dahulu dan ini juga menangkis persepsi terhadap Anwar bahawa dia adalah seorang 'kriminal' atau banduan.

"Saya rasa ia adalah tujuan yang ingin disampaikan menerusi filem ini," katanya.

Sebelum ini, Encik Anwar bersama Wan Azizah hadir ke sesi tayangan khas filem 'Anwar: The Untold Story' yang memaparkan ranjau perjalanannya dalam arena politik Malaysia di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta (S$3 juta) itu dihadiri beberapa tetamu terhormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan.

Majlis tayangan anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem 'Anwar: The Untold Story' menyaksikan Siti Nurhaliza menyanyikan lagu filem berkenaan yang berjudul 'Menjaga Cintamu' hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai PM Anwar dan Hasnul Rahmat (Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Ia digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar dengan penggambarannya dijalankan di Malaysia dan Indonesia.

Filem 'Anwar: The Untold Story' akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 18 Mei ini.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan