Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

PM India, Shah Rukh Khan, Amitabh Bachchan, hadir upacara persemadian Lata Mangeshkar

Anggaran Waktu Membaca:
PM India, Shah Rukh Khan, Amitabh Bachchan, hadir upacara persemadian Lata Mangeshkar

Gambar: Agensi Berita/ Hindustan Times

Diterbitkan : 07 Feb 2022 08:18AM Dikemas Kini : 07 Feb 2022 08:21AM

MUMBAI: Perdana Menteri India, Narendra Modi dan bintang popular Bollywood, Shah Rukh Khan, adalah antara orang kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir semasa upacara persemadian penyanyi legenda Lata Mangeshkar, pada Ahad (6 Feb).

Mereka antara lain dilihat bertafakur dan meletakkan kalungan bunga semasa upacara Persemadian Negara di Shivaji Park di Mumbai, pukul 6.30 petang waktu tempatan (9.00 malam waktu Singapura), menurut The Indian Express.

Terdapat ramai lagi orang kenamaan dan selebriti yang hadir pada upacara berkenaan termasuk pemain kriket terkenal India dan dunia, Sachin Tendulkar.

Terdahulu, pelakon veteran Bollywood Amitabh Bachchan ditemani anaknya, Shweta Bachchan, turut hadir memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang di Mumbai.

BACA:India berduka gugurnya 'ratu melodi' Lata Mangeshkar

Sebagai tanda penghormatan kepada mendiang yang juga penerima anugerah tertinggi untuk orang awam, Bharat Ratna, pemerintah India turut mengumumkan untuk mengibarkan bendera separuh tiang dan berkabung selama dua hari.

Sepanjang tempoh itu kesemua majlis rasmi juga diarahkan dibatalkan, seperti yang dilaporkan Astro AWANI.

Seniwati tersohor Bollywood itu meninggal dunia pada usia 92 tahun di hospital di Mumbai Breach Candy selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi sejak 11 Januari lalu akibat jangkitan COVID-19.

Mangeshkar yang lahir pada tahun 1929, memulakan karier seninya pada usia lima tahun hasil latihan bapanya, Deenanth, lapor Astro Awani.

Setelah bapanya meninggal dunia, beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara empat beradik dan keluarganya pada usia 13 tahun.

Mendiang juga pernah dijemput kerajaan bagi menyanyikan lagu patriotik sebagai penghormatan kepada anggota tentera yang terbunuh dalam perang Indo-China pada tahun 1962.

Mangeshkar terkenal dengan sifatnya yang sering menyanyi tanpa memakai kasut sebagai tanda hormat kepada seni nyanyi dan menulis sendiri bait lirik sebelum merakamnya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan