Skip to main content

Hiburan

PM Anwar: Teater muzikal 'Mansur & Liu' setanding pementasan antarabangsa

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyifatkan teater muzikal "Mansur & Liu" arahan maestro muzik M Nasir sebagai antara pementasan terbaik pernah disaksikannya di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar: Teater muzikal 'Mansur & Liu' setanding pementasan antarabangsa

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) hadir menyaksikan teater muzikal "Mansur & Liu" arahan M Nasir di Istana Budaya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 11:29AM
  • Anwar Ibrahim memuji teater muzikal “Mansur & Liu” arahan M Nasir sebagai antara pementasan terbaik di Malaysia dan setanding karya antarabangsa.
  • Beliau berkata seni dan budaya perlu disokong berterusan oleh kerajaan serta sektor swasta, termasuk kemudahan lebih baik untuk penggiat seni.
  • Dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September, karya ini mengangkat kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu.
  • Terbitan Roman Abadi bersama Icon Entertainment itu menampilkan 30 lagu, skor asli M Nasir, barisan pelakon terkenal dan tema diplomasi antara empayar.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyifatkan teater muzikal "Mansur & Liu" arahan maestro muzik M Nasir sebagai antara pementasan terbaik pernah disaksikannya di Malaysia.

Encik Anwar berkata karya berskala besar itu mampu setanding dengan beberapa pementasan antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi.

Menurutnya, usaha memperkasa seni dan budaya memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan sektor swasta, termasuk menyediakan kemudahan lebih baik kepada penggiat seni.

"Apabila saya sebut pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, kita bicara tentang pemerkasaan budaya. Malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang boleh dibanggakan," katanya selepas menyaksikan pementasan itu di Istana Budaya.

Encik Anwar turut mengucapkan tahniah kepada M Nasir dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pementasan tersebut.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil serta penerbit dan pengarah Yusuf Haslam bersama isterinya Patimah Ismail.

ANGKAT KISAH SULTAN MANSUR SHAH, PUTERI LIU

Teater muzikal "Mansur & Liu" berlangsung selama 11 hari di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 10 September dan dijadual berakhir pada Ahad (20 Sep).

Teater sulung arahan M Nasir itu mengangkat kisah Sultan Melaka keenam, Sultan Mansur Shah, dan Puteri Liu dari Dinasti Ming berdasarkan "Sulalatus Salatin" atau "Sejarah Melayu".

Pementasan itu menampilkan Aliff Aziz sebagai Sultan Mansur Shah, manakala Melinda Dadew membawa watak Puteri Liu.
Related article image
Aliff Aziz (kiri) sebagai Sultan Mansur Shah dan Melinda Dadew sebagai Puteri Liu dalam teater muzikal "Mansur & Liu" di Istana Budaya. (Gambar: BERNAMA)
Barisan pelakon lain termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot dan Anas Ridzuan.

Diterbitkan Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment, teater muzikal itu menampilkan 30 lagu serta skor muzik asli ciptaan M Nasir.

Karya tersebut bukan sahaja mengisahkan pertemuan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Liu, malah mengetengahkan zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa serta hubungan antara dua empayar yang dipisahkan lautan.

"Mansur & Liu" juga merupakan antara pementasan berskala besar terawal dipersembahkan di Istana Budaya selepas panggung seni utama Malaysia itu selesai menjalani kerja pembaikan dan naik taraf.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita