Skip to main content

Hiburan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Justin Bieber sertai barisan artis persembahan separuh masa perlawanan akhir

Justin Bieber dimasukkan ke dalam senarai barisan artis yang bakal membuat persembahan pada pertunjukan separuh masa, yang diadakan buat julung-julung kalinya dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia FIFA.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Justin Bieber sertai barisan artis persembahan separuh masa perlawanan akhir

Justin Bieber semasa pusingan pertama Draf NHL 2026 di KeyBank Centre, Buffalo, New York, pada 26 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Timothy T. Ludwig)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 01:34PM
NEW YORK: Justin Bieber dimasukkan ke dalam senarai barisan artis yang bakal membuat persembahan pada pertunjukan separuh masa, yang diadakan buat julung-julung kalinya dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia FIFA.

Para penganjur mengesahkan pada Rabu (8 Jul) bahawa keseluruhan persembahan muzik itu akan berlangsung selama 11 minit.

Bintang terkenal dari Kanada itu menyertai Madonna, Shakira dan kumpulan K-pop popular BTS dalam persembahan separuh masa ala Super Bowl yang akan berlangsung pada 19 Julai di Stadium MetLife, New Jersey.

Vokalis Coldplay, Chris Martin, memainkan peranan sebagai pengarah artistik pertunjukan berkenaan. Ia turut mencetuskan persoalan berhubung tempoh rehat separuh masa perlawanan itu.

Menurut undang-undang permainan bola sepak, tempoh rehat separuh masa "tidak boleh melebihi 15 minit".

Persembahan muzik selama 11 minit itu berkemungkinan memerlukan tempoh rehat itu dipanjangkan, memandangkan ia mengambil masa untuk memasang dan membuka semula set persembahan.

Namun, pengumuman tersebut dijangka meredakan kebimbangan menyusuli spekulasi sebelum ini bahawa pertunjukan separuh masa Piala Dunia FIFA 2026 mungkin berlanjutan sehingga 25 minit.

Presiden FIFA Gianni Infantino berkata pertunjukan separuh masa itu akan menjadi "pentas terbesar yang pernah dipersembahkan", dengan "beberapa bilion" penonton dijangka menyaksikannya.

Pertunjukan itu, yang turut menampilkan watak-watak daripada Sesame Street dan The Muppets, akan menyokong Dana Pendidikan Global Citizen FIFA, iaitu inisiatif yang menyasarkan kutipan AS$100 juta (S$129.31 juta) untuk membantu kanak-kanak di seluruh dunia sepanjang Piala Dunia FIFA.

“Piala Dunia FIFA menyatukan dunia dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh acara-acara lain,” kata Bieber dalam satu kenyataan.

“Saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada pertunjukan separuh masa ini, dan lebih bersyukur kerana ia sudah pun membantu meluaskan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak di seluruh dunia,” tambah penyanyi lagu 'Stay' dan 'Love Yourself' itu.

Turut disenaraikan dalam barisan artis pada Rabu ialah penyanyi dan penulis lagu Nigeria, Burna Boy, serta konduktor muzik klasik dari Venezuela, Gustavo Dudamel.

Coldplay pula akan membuat persembahan bersama PS22 Chorus, sebuah koir pelajar sekolah rendah awam di New York yang meraih pengiktirafan meluas.

“Ini merupakan himpunan artis terbesar yang berganding bahu demi satu tujuan sejak Live Aid, dan berkemungkinan menjadi persembahan muzik selama 11 minit yang paling ditonton dalam sejarah penyiaran,” kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Citizen, Hugh Evans.

Dalam tempoh 11 minit, pertunjukan separuh masa perlawanan akhir Piala Dunia FIFA itu singkat sedikit berbanding kebanyakan persembahan separuh masa Super Bowl kebelakangan ini, yang lazimnya berlangsung sekitar 13 hingga 14 minit.

Pertunjukan separuh masa seumpamanya sebelum ini diuji pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA tahun lalu, yang turut berlangsung di Stadium MetLife.

Ketika itu, keseluruhan tempoh rehat separuh masa dilanjutkan kepada lebih 24 minit, mencetuskan kritikan berhubung potensi kesannya terhadap prestasi para pemain.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita