Pesta Raya kembali diadakan secara fizikal di Esplanade; Jatt Ali, Hady Mirza, Sufi Rashid gabung suara dalam konsert FENOMENA
SINGAPURA: Pesta Raya kembali diadakan secara fizikal di Esplanade tahun ini setelah terpaksa beralih ke wadah digital selama dua tahun akibat pandemik.
Antara sajian hiburan yang bakal dipersembahkan termasuk konsert FENOMENA, yang menampilkan ikon-ikon muzik tempatan Jatt Ali, Hady Mirza dan Sufi Rashid.
Mereka bakal bergabung tenaga dan suara buat julung-julung kalinya di Dewan Konsert Esplanade pada 27 Mei ini.
Selain mereka bertiga, pesta seni Melayu itu juga menampilkan persembahan oleh penyanyi Art Fazil, kumpulan-kumpulan dikir barat dan kugiran Masdo dari Malaysia.
Ini selain persembahan teater dan tarian, bengkel lukisan batik serta tayangan filem yang akan diadakan dari 26 hingga 29 Mei.
SUFI RASHID TIDAK PERCAYA, TERUJA DAPAT KONGSI PENTAS DENGAN 'LEGENDA'
Ketika ditemui di sesi rakaman video bagi konsert FENOMENA, Sufi Rashid memberitahu bahawa peluang untuk mengadakan persembahan di Dewan Konsert Esplanade merupakan satu impian yang kini menjadi nyata.
Lebih manis lagi, beliau dapat berkongsi pentas bersama dua penyanyi veteran yang beliau anggap sebagai 'legenda'.
"'Uncle Jatt' dan 'Abang Hady', mereka adalah orang kata, saya punya idola. Memang dari kecil saya sudah mengikut perkembangan mereka sebagai pemuzik, sebagai penyanyi. Jadi bila sekarang berada di atas pentas bersama mereka itu, macam tidak percaya," kongsi pemenang Akademi Fantasia 2015 itu.
Jatt Ali dan Hady Mirza pula pernah beraksi di atas pentas yang sama ketika bertanding dalam Gegar Vaganza (GV) pada 2019 di Malaysia.
Menurut Hady, mereka bertiga agak rapat sebenarnya.
"Jadi tidak rasa janggal ataupun canggung dengan mereka. Saya harap 'chemistry' kami akan menjayakan konsert ini," tambah beliau.
KONSERT UNTUK RAIKAN PERKEMBANGAN MUZIK MELAYU POPULAR SETEMPAT
Selama sejam setengah, konsert FENOMENA mengajak para peminat mengimbau kembali nostalgia lagu-lagu popular Singapura dari era 60an hingga kini.
Vokalis utama Black Dog Bone, Jatt Ali, bakal menggegarkan pentas dengan lagu-lagu hit kumpulannya, manakala Hady Mirza akan mendendangkan single terbarunya, Cinta Sampai Di Sini, buat pertama kali di Singapura.
Sufi Rashid pula menjanjikan kejutan buat para peminatnya dengan susunan baru pada lagu-lagu popularnya, khas untuk malam itu sahaja.
Selain penyanyi undangan Rahila Rashun, mereka juga bakal mempersembahkan duet istimewa bersama penyanyi jemputan dari Malaysia iaitu Ernie Zakri dan Syamel.
"Jadi para penonton boleh menjangkakan persembahan yang agak 'meletop' orang kata," kata Hady, yang memegang gelaran sebagai Singapore Idol 2006, Asian Idol 2007 dan juara musim keenam GV.
Jatt Ali pula meluahkan rasa gembira dapat membuat persembahan bersama individu-individu berbakat yang bakal menjadi pelapis industri muzik tanah air.
"Marilah sama-sama beri sokongan kepada artis-artis muda Singapura untuk teruskan perjuangan mereka sebagai seorang anak seni," kata beliau.
Tiket-tiket ke acara Pesta Raya 2022 boleh didapatkan di laman SISTIC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.