Pesta Perdana raikan bakat baru, pengacara & artis sibuk buat persiapan
Syaz Smooth kali pertama menyanyi di Pesta Perdana. (Gambar: Danish Aiman Hairul Nazrin)
BERITAmediacorp: Para penonton siaran langsung Pesta Perdana 2023 yang bakal berlangsung esok (17 Jun) boleh menjangkakan persembahan gah daripada tiga "idol" yang akan menggemilangkan pentas Teater Mediacorp.
Selain juara Singapore Idol, Taufik Batisah dan Hady Mirza, juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor juga bakal menghiburkan 1,300 karyawan hiburan dan media Melayu tempatan serta penonton Pesta Perdana.
Malam penganugerahan itu akan turut dimeriahkan lagi dengan alunan lagu-lagu medley oleh para penyanyi tempatan serta undangan.
Pentas itu juga peluang bakat-bakat muda seperti penyanyi 17 tahun, Syaz Smooth tonjolkan bakat.
Meskipun ini pertama kali membuat persembahan di Pesta Perdana, juara pertandingan Suara 2.0 Wisma Geylang Serai itu sebenarnya sudah berpengalaman beraksi di pentas besar.
Pada usianya 12 tahun, Syaz pernah menyertai musim kedua acara cungkil bakat serantau, Asia Got Talent.
"Ramai penerbit yang akan hadir di Pesta Perdana. Jadi saya memang ghairah untuk buat persembahan.
"Saya berharap dapat nyanyi untuk lebih banyak lagu tema, 'OST'. Saya sebenarnya baru rakam satu lagu dengan abang Mayuni untuk drama khas Hari Ibu, 'Stigma Lea' dan saya berharap sangat dapat lebih peluang."
Kalangan pelakon yang dicalonkan seperti Fir Rahman dan Suzairhe Sumari juga akan membuat persembahan.
Persembahan mereka juga akan diserikan dengan iringan tarian daripada finalis rancangan Dansa Mania.
Fir Rahman dan Suzairhe Sumari dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama (Drama Bersiri) atau (Drama Khas).
Itu antara 18 kategori anugerah yang bakal diumumkan pemenangnya esok (17 Jun).
2 HOS PERTAMA KALI MENGACARAKAN PESTA PERDANA
Selain para penyanyi dan penari yang sibuk membuat persiapan, para pengacara Pesta Perdana juga gemuruh menjelang acara gilang-gemilang itu.
Ini lebih-lebih lagi bagi dua orang hos yang mengacarakan acara itu buat pertama kalinya iaitu Farhana M Noor dan AB Shaik yang bakal bergandingan dengan Kharudin Samsudin.
"Ini bukan kali pertama saya bekerja dengan Khairudin Samsudin dan juga AB Shaik, jadi saya sudah biasa dengan lawak-jenaka mereka tapi saya tahu bahawa mereka boleh seimbangkan lawak jenaka itu dengan profesionalisme untuk kekalkan keanggunan acara yang gah tapi cabarannya mungkin saya takut ketinggalan di belakang sebab mereka spontan.
"Jadi saya harap saya boleh ikut rentak mereka," kongsi Farhana M Noor yang turut tercalon dalam dua kategori iaitu Pengacara Terbaik (Hiburan) dan Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Pembantu (Drama Bersiri).
Selain kali pertama mengacarakan Pesta Perdana, DJ radio Warna 94.2FM, AB Shaik Ahmad Banafe' juga menjadi antara calon kategori baru yang diperkenalkan dalam Pesta Perdana 2023 yakni bagi kategori DJ Radio Terbaik.
"Saya bersyukur dan berterima kasih dapat diberikan peluang menjadi pengacara untuk acara Pesta Perdana yang gah ini. Bergandingan bersama Farhana dan juga Khairudin. Saya akan buat yang terbaik. Tentang percalonan ini, berdebar-debar juga sebab, nak mengacara kemudian menantikan keputusan. Jadi saya serahkan keputusannya kepada penonton, pengadil. Yang penting kita harus berhibur hati. Kalau kawan-kawan saya menang, bererti saya pun menang bersama-sama."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.