Skip to main content

Hiburan

Pesta Perdana 2025: Pasangan hos Najip Ali, Era Farida bawa keserasian daripada KOTT

Sebanyak 25 anugerah akan disampaikan dalam Pesta Perdana pada Sabtu (24 Mei) bagi mengiktiraf bakat-bakat televisyen dan radio Melayu terbaik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Perdana 2025: Pasangan hos Najip Ali, Era Farida bawa keserasian daripada KOTT

Sebanyak 25 anugerah akan disampaikan dalam Pesta Perdana 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nur Arina Ahmad Anis)

SINGAPURA: Sebanyak 25 anugerah akan disampaikan dalam Pesta Perdana pada Sabtu (24 Mei) bagi mengiktiraf bakat-bakat televisyen dan radio Melayu terbaik.

Para artis kini sibuk membuat persiapan akhir menjelang malam gilang-gemilang itu esok.

Di belakang tabir, tenaga kerja sibuk memastikan acara Pesta Perdana ke-18 dibawakan secara langsung ke kaca televisyen anda dan media sosial dengan jayanya.

Khas bagi meraikan ulang tahun SURIA ke-25, acara itu juga akan diterajui oleh Najip Ali dan Era Farida - duo popular daripada Kopi O Teh Tarik (KOTT) iaitu antara rancangan hiburan terawal di saluran itu.

Mereka juga akan bersama dua lagi pengacara iaitu Farhana M Noor dan Fauzie Laily.

"Cik Sal dengan saya, kita tidak perlu berlatih. Kita dah ada macam telepati. Apa saya buat dia tahu apa yang saya buat. Kadang-kadang saya buat sesuatu dia tahu apa yang saya nak buat kemudian. Ini yang membuat 'chemistry' kita sangat cantik sekali yang mungkin sampai sekarang saya belum dapat lagi daripada pengacara pengacara yang baru ini. 'Chemistry' yang luar biasa yang saya ada daripada Cik Sal dengan saya ini," kongsi Najip Ali kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Era Farida, yang juga dikenali daripada KOTT sebagai Cik Sal Boleh turut meluahkan rasa terujanya dapat berganding bahu bersama Najip Ali lagi.

"Saya dengan Najip memang kalau jumpa di luar set pun kita sentiasa akan bergurau senda dan apa lagi kita kalau bekerja, kita akan jadi lain. Niat kita untuk menghibur penonton dan orang-orang yang ada di teater nanti dengan harapan mereka akan mengimbau kembali zaman-zaman KOTT," kata Era Farida.

Para penonton juga akan dihiburkan oleh bakat-bakat besar dari dalam dan luar negara.

Antaranya termasuk Taufik Batisah, Hady Mirza, Sezairi, Anuar Zain dan Nadeera Zaini.

"Dari segi kandungan, ada juga elemen AR yang hanya penonton di rumah dapat saksikan. Ia satu kelainan di dalam Pesta Perdana pada tahun ini. Dan selain itu, ada persembahan dari artis-artis rancangan realiti nyanyian Suria seperti Eka Marina, Fuad Rahman, Iskandar Ismail dan untuk pertama kalinya ada sebuah persembahan 3 nama besar yang sangat dikagumi ramai. Taufik Batisah, Hady Mirza dan Sezairi yang akan beraksi di atas satu pentas," menurut Ketua Eaglevision, Fadila Abdul Wahid.

Acara Pesta Perdana akan dimulakan dengan acara karpet merah, Pesta Perdana Glam yang akan dikelolakan oleh DJ RIA 897, Azura Goh dan Fadli Kamsani, serta personaliti Fikah Zainal dan Zhin Sadali.

Ia akan disiarkan secara langsung dari jam 7.00 malam hingga 8.00 malam di meWatch, di saluran YouTube Mediacorp Entertainment , akaun TikTok Mediacorp Untukmu dan saluran Suria pada 24 Mei.

Siaran langsung Pesta Perdana pula akan disiarkan dari jam 8.30 malam hingga 11.00 malam di meWatch, YouTube dan Suria.
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita