Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pesta Perdana 2023 perkenal 2 anugerah baru iktiraf personaliti radio & kandungan digital bentuk pendek

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Perdana 2023 perkenal 2 anugerah baru iktiraf personaliti radio & kandungan digital bentuk pendek

Gambar: Mediacorp

Diterbitkan : 18 May 2023 03:41PM Dikemas Kini : 22 May 2023 10:46AM
SINGAPURA: Acara anugerah Pesta Perdana kembali dengan tema 'Epilog Impian' bagi menjulang bakat seni serta kandungan terbaik dunia hiburan Melayu tempatan.

Sebanyak 34 anugerah akan disampaikan di acara dwitahunan tersebut termasuk anugerah 'Perdana Emas'.

Istimewanya Pesta Perdana kali ini, ia bakal menyaksikan penyampaian dua anugerah baru - 'DJ Radio Terbaik' untuk mengiktiraf personaliti radio atas kecemerlangannya dalam menyampaikan kandungan di corong radio dan 'Rancangan Digital Terbaik' sebagai memperakui permintaan kian meningkat bagi kandungan lebih singkat dalam kalangan golongan yang membesar dengan digital.

Drama 'Identiti' hasil Papahan Films menerima pencalonan tertinggi sebanyak 11 kesemuanya bagi acara anugerah tersebut. Manakala, siri 'Dilema Dania' oleh Poetry in Motion tidak jauh di belakang dengan 10 pencalonan.

Sementara itu, syarikat Mediacorp Eaglevision, Poetry in Motion dan The Moving Visuals Co. didedahkan sebagai tiga syarikat penerbitan yang meraih pencalonan tertinggi di anugerah tersebut.

Pesta Perdana edisi ke-17 akan menggandingkan personaliti televisyen Farhana M Noor dan Khairudin Samsudin serta DJ WARNA 942, AB Shaik, selaku hos acara.

Selain penyampaian anugerah, acara itu turut akan diserikan dengan pelbagai persembahan daripada barisan artis tempatan serta serantau yang terkemuka.

Ketua Pegawai Pelanggan & Pembangunan Korporat Mediacorp Angeline Poh berkata melalui satu kenyataan media: "Pesta Perdana mengiktiraf kecemerlangan dan daya kreatif industri hiburan Melayu Singapura. Tahun ini, kami amat teruja untuk memperluaskan wadah ini dengan tambahan dua anugerah baru yang meraikan 'DJ Radio Terbaik' dan 'Rancangan Digital Terbaik'".

Pesta Perdana 2023 akan berlangsung pada 17 Jun di panggung The Theatre di Mediacorp.

Acara malam gemilang itu akan mula bersiaran menerusi rancangan Manja - Khas Pesta Perdana 2023 tepat pada pukul 7.00 malam, diikuti dengan Segmen Karpet Merah Pesta Perdana Glam 2023 pada 7.30 malam.

Acara penyampaian anugerah yang gah tersebut pula akan disiarkan secara langsung pada jam 8.30 malam. Kesemua tiga program itu dapat ditonton menerusi saluran Suria, dengan siaran serentak di mewatch dan YouTube Mediacorp pada 17 Jun nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan