Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pertandingan menyanyi terbaru - Berani Nyanyi? - janjikan kelainan dan kejutan tidak anda jangkakan

Anggaran Waktu Membaca:
Pertandingan menyanyi terbaru - Berani Nyanyi? - janjikan kelainan dan kejutan tidak anda jangkakan

Pertandingan nyanyian baru 'Berani Nyanyi?' bakal ditayangkan di Suria mulai 8 Februari 2022. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Jangkakan "kelainan" dan pelbagai perkara yang anda "tidak jangkakan" dalam pertandingan menyanyi terbaru dipanggil 'Berani Nyanyi?'.

Itulah yang dijanjikan saluran Suria, apabila yang bertanding dalam pertandingan itu adalah wajah-wajah mapan seperti pelakon, DJ Radio atau 'influencer' yang hakikatnya tidak terkenal sebagai penyanyi.

Rancangan 'Berani Nyanyi?' berlandaskan konsep di mana 24 personaliti tempatan - yang lazimnya tidak menyanyi di kaca TV - akan cuba memikat hati penonton dalam bidang nyanyian pula.

Pada empat minggu pertama, identiti mereka akan menjadi misteri dan tidak didedahkan. Hanya kemerduan suara mereka menjadi taruhan.

BACA: Berani Nyanyi? cungkil bakat terpendam 24 personaliti popular tanah air

BERANI NYANYI LAIN DARIPADA YANG LAIN

Rancangan 'Berani Nyanyi?' dijangka menyajikan para penonton dengan pelbagai kejutan setiap episod.

Ketua Audiens Melayu dan Mediacorp Eaglevision, Sabariah Ramilan berkata: "Rancangan Berani Nyanyi? ini adalah suatu format rancangan hiburan yang terbaru yang saya rasa amat menarik. Kami gabungkan mereka yang mempunyai berbagai bakat ini tetapi yang belum pernah orang ketahui, belum ketahui bakat mereka dalam bidang nyanyian.

"Jadi kalau sekiranya dahulu mereka cemerlang dalam lakonan, kini mereka akan tonjolkan bakat mereka dalam bidang nyanyian. Begitu juga dengan pengacara dan juga DJ di radio."

Rancangan itu, menurut Cik Sabariah, bukan sahaja harus ditonton oleh orang Melayu, tetapi juga oleh penonton bukan berbahasa Melayu kerana menampilkan 'showmanship' yang menarik.

"Bila anda menonton Berani Nyanyi? saya mengharapkan banyak detik-detik A-ha! Atau Oh! Oh Aku tak tahu! Terperanjat-terperanjat inilah yang akan saya harap dirasakan," kata Penerbit Eksekutif dan Hos 'Berani Nyanyi?' Najip Ali pula.

"Penonton yang tak kenal orang ini atau tidak tahu seseorang personaliti itu boleh bernyanyi rupanya. Boleh curi nasi periuk penyanyi di Singapura pula! Itulah perbualan yang saya mengharap akan merancakkan suasana," tambah ikon industri hiburan Asia dengan senda gurauan.

Dalam hal itu, Cik Sabariah berkata bahawa sudah tiba masanya masyarakat uar-uarkan bahawa "bakat-bakat tempatan adalah bakat-bakat yang mempunyai pelbagai bakat" dan dari segi bidang seni yang harus ditonjolkan dalam rancangan itu.

"Saya rasa dalam menyokong bakat tempatan dalam mempelbagaikan ataupun menonjolkan versatiliti mereka sebagai anak seni, ramai di antara para personaliti kita yang amat berbakat," ujar beliau.

HOSMAPAN, BARISAN JURI MANTAP

Selama lapan minggu, rancangan pertandingan itu akan dihoskan ikon televisyen mapan, Najip Ali bersama Era Farida.

Najip yang juga pemenang Hos Terbaik bagi kategori Hiburan di Pesta Perdana tahun lalu berkata beliau sudah lama tidak berganding dengan Cik Sal.

Beliau akur bahawa bahawa beliau dan Cik Sal memang sudah tua dan veteran.

Jadi untuk mencari keseimbangan, seorang 'influencer' media sosial Hafidz Rahman dipilih sebagai hos ketiga rancangan itu.

Rancangan itu akan melibatkan barisan pengadil tetap yang terdiri daripada Aisyah Aziz, Hyrul Anuar, Sheikh Haikel dan Rosalina Musa manakala Kumar dan Taufik Batisah diundang selaku pengadil jemputan.

"Jadi oleh kerana pelakon menyanyi dan apakah yang mereka katakan, ada yang pedas, Kumar yang kelakar, ada komen yang membina. Dan ini adalah sesuatu yang sangat-sangat menarik dan saya berterima kasih sekali kerana mereka sangat-sangat bekerja sama, sangat mantap dan kuat di rancangan ini," ujar Najip.

NANA KARIA DIBERI TUGAS ASAH VOKAL PESERTA

Vokal peserta pertandingan akan diasah dan dibimbing penyanyi Trisno Ishak dan Nana Karia sebagai mentor. Nana secara jujurnya berkata bahawa para peserta memang sudah ada kebolehan di atas pentas.

Menurut Nana, antara tugas berat yang beliau dan Trisno pikul ialah menggilap para peserta menjadi "penyanyi yang ada kredibiliti".

Nana yang juga pernah menjadi mentor bagi rancangan pertandingan Anugerah 2021 berkata: "Tugas saya adalah untuk menggilap dan memperhalusi kemahiran mereka, nota-nota seni atas pentas untuk membuatnya meyakinkan untuk televisyen."

"Menyanyi adalah satu proses, bukan setakat boleh menyanyi di atas pentas, tetapi termasuk juga proses kemahiran mendengar, idea kreatif untuk menghasilkan konsep buat persembahan mereka."

Memahami hakikat bahawa para peserta berkenaan bukanlah 'penyanyi', proses bimbingan para peserta tidak mudah kata Nana.

"Tugas paling mencabar untuk saya adalah untuk membuat mereka rasa selesa dengan suara mereka sendiri apabila menyanyi, memberi mereka keyakinan. Saya juga perlu selaraskan stabiliti vokal dengan persembahan mereka. Ia satu proses dan bukan datang sekelip mata," kongsi Nana.

Mengulas tentang peraduan adu suara berkonsep baru itu Nana berkata bahawa perkataan paling penting dalam program itu adalah 'berani'.

"Nyanyi bukan yang utama. Mereka semua bukan penyanyi. Tetapi keberanian paling penting sebab walaupun mereka tahu mereka bukan penyanyi profesional, tetapi mereka berani bukan sahaja untuk menyanyi tetapi membuat persembahan yang cukup baik, dengan konsep, gaya, gubahan musik."

Mula disiarkan pada setiap Selasa, jam 8.30 malam, mulai 8 Februari ini, lima peserta akan akhirnya berentap dalam pusingan akhir pertandingan 'Berani Nyanyi?' pada 29 Mac. Siarannya dilanjutkan kepada satu setengah jam pada episod terakhir.

Berani Nyanyi? juga boleh anda saksikan di meWATCH dan saluran Suria.

Semua persembahan dan kandungan eksklusif digital rancangan itu akan disediakan di meWATCH, Instagram dan Facebook Suria serta saluran YouTube Hiburan Mediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan