Persatuan Pengarah Filem M'sia rayu kerajaan benarkan penggambaran sebelum Hari Raya
Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu agar kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan permohonan penggiat industri filem dan siri televisyen (TV) untuk menyambung kerja penerbitan terutamanya sesi penggambaran sebelum Aidilfitri.
![Persatuan Pengarah Filem M'sia rayu kerajaan benarkan penggambaran sebelum Hari Raya Persatuan Pengarah Filem M'sia rayu kerajaan benarkan penggambaran sebelum Hari Raya](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--E0vNe8xp--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/fdam-penggambaran.jpg?itok=6AW_Illl)
(Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu agar kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan permohonan penggiat industri filem dan siri televisyen (TV) untuk menyambung kerja penerbitan terutamanya sesi penggambaran sebelum Aidilfitri.
Ini bagi memberi peluang kepada mereka untuk menerima sedikit pembayaran sebagai persediaan menyambut perayaan itu, kata Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim, ketika mengulas kesediaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mempertimbang permohonan penggiat industri bagi meneruskan kerja mereka.
"Tak perlu tunggu selepas hari raya. SOP (Prosedur Operasi Standard) komprehensif cadangan FDAM sudah diberi kepada KKMM oleh FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).
"Masih tak terlambat nak dapat duit raya kalau kelonggaran bersyarat untuk penggambaran diberikan esok (Isnin) atau Selasa ini," katanya
Dr Ahmad berkata beliau bersedia bertemu pihak berkenaan termasuk Majlis Keselamatan Negara pada bila-bila masa jika diperlukan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai SOP penggambaran itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah pada Khamis lalu (15 Mei) berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memutuskan pelaksanaan SOP berkenaan dalam masa terdekat selepas meneliti impak pelaksanaan PKP Bersyarat serta kesan pembukaan semula operasi sektor ekonomi.
Menurut data FDAM, terdapat kira-kira 875 karyawan filem dan TV termasuk 35 ahli FDAM mewakili 35 syarikat penerbitan kehilangan mata pencarian sejak penguatkuasaan PKP mulai 18 Mac lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.