Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Perjuangan mungkin berbeza tapi Rano Karno dan Iis Sugianto bertekad mahu berbakti kepada rakyat

Trend artis Indonesia menjadi 'suara rakyat' dalam Parlimen semakin ketara dan lantang setiap kali pilihan raya diadakan di negara itu. BERITAmediacorp secara ekslusif mewawancara Rano Karno dan Iis Sugianto, yang bertekad untuk berbakti kepada masyarakat dengan cara masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Trend artis Indonesia menjadi 'suara rakyat' dalam Parlimen semakin ketara dan lantang setiap kali pilihan raya diadakan di negara itu.

Antara artis popular yang mencuba nasib untuk bertanding dalam pilihan raya tahun ini termasuk pelakon Rano Karno, Denada, Emilia Contessa, Katon Bagaskara, Dessy Ratnasari, Mulan Jameela, Krisdayanti, Harvey Malaiholo, Iis Sugianto, Jamal Mirdad, Nafa Urbach, Sahrul Gunawan dan Manohara Odelia.

Agensi-agensi berita di Jakarta melaporkan bahawa antara artis yang gagal dan 'tidak lolos' ke Parlimen adalah Emilia Contessa, Denada, Harvey Malaiholo, Jamal Mirdad dan penyanyi Iis Sugianto.

Mereka yang berjaya masuk ke arena politik pula adalah Rano Karno, Dessy Ratnasari dan Krisdayanti.

Dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp, pelakon tersohor Indonesia, Rano Karno, yang terkenal melalui watak ikonik Si Doel melahirkan rasa syukurnya kerana berpeluang untuk melantangkan suara rakyat di Parlimen.

DULU GABENOR, KINI WAKIL RAKYAT PULA

Sebelum meraih kemenangan dalam pilihan raya 2019, Rano yang sebelum ini pernah menjadi Gabenor Banten selama setahun, pernah tewas pada 2017.

Pelakon bertahi lalat ini memilih untuk bertanding mewakili Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI Perjuangan) di Banten kali ini.

Jadi, bagaimanakah perasaan beliau setelah mengecapi kejayaan?

“Biasa saja kerana ini sumbangan saya. Saya udah umur 58 tahun. Ingin memberikan pengabdian terakhir kepada negara.Komisi 10 itu pendidikan. Passion saya untuk pendidikan. Pendidikan itu sangat penting,” menurut pelakon mapan ini.

Minat pengarah serta penerbit filem itu untuk menceburi politik semakin menebal setelah beliau menyertai PDI Perjuangan pada 2007.

“Setelah saya masuk dunia demokrat, saya harus faham apa itu ilmu pemerintahan dan kerana itu saya ambil ilmu politik. Saya tamat pengajian pada tahun 2004 di sekolah tinggi ilmu pemerintahan di Jakarta.”

(Gambar: Instagram/Rano Karno)

Berkat tekadnya itu, Rano Karno berjaya memperolehi “suara terbanyak” di Tangerang Raya, Banten. Beliau berjaya memikat sejumlah 274,294 undi.

“Suara saya tertinggi, bahkan di seluruh provinsi Banten saya yang tertinggi. Saya pun nombor 3 tertinggi di peringkat nasional.”

Senang disapa sebagai Bang Rano, beliau tidak menafikan bahawa pengalaman menjadi gabenor di Banten sebelum ini telah banyak membantu beliau untuk meraih kemenangan kali ini.

“Masyarakat Banten tahu siapa saya. Kedua, barangkali kerana saya popular sebagai artis. Ketiga, kerana saya turun ke bawah untuk melakukan program-program Bapak Jokowi. Tapi bukan hanya setakat popular, masyarakat Banten tahu waktu saya menjadi gabenor mereka. Mereka tahu bagaimana kerja saya.”

Ternyata, beliau berhasil memperolehi jumlah undi tertinggi jika dibandingkan dengan artis-artis lain yang turut bertanding April lalu.

SI DOEL AZIMAT RANO KARNO MENANG PILIHAN RAYA?

BERITAmediacorp turut menanyakan Rano sama ada wataknya sebagai Si Doel yang pernah popular suatu ketika dahulu telah membantunya untuk memperolehi undi sedemikian daripada para penyokongnya.

“Sangat membantu. Saya punya program TV, Si Doel Anak Sekolahan. Pelajaran itu penting. Setiap tahun stesen TV siarkan balik program itu. Jadi sangat membantu untuk kempen. Banyak orang bicara sama saya Pak Rano tak usah berkempen kerana sudah ada di televisi apalagi sekarang pun saya sudah bikin filem Si Doel the Movie.”

(Gambar: Instagram/Rano Karno)

(Gambar-gambar: Instagram/Rano Karno)

Rano Karno turut mendedahkan bahawa sistem demokrasi di Indonesia memberikan peluang kepada sesiapa saja untuk 'dipilih dan memilih' termasuk artis-artis di negara itu.

“Pilihan terakhir adalah kepada rakyat. Tidak banyak artis yang dipilih menjadi Anggota Parlimen. Hukum alamnya seperti itu. Tidak semua popularitas memberikan keberhasilan jadi masyarakat Indonesia pun sudah pandai melihat.”

TETAP POSITIF WALAU 'TIDAK LOLOS'

Meskipun “tidak lolos” ke Parlimen kali ini, penyanyi legenda Iis Sugianto yang popular menerusi lagu Jangan Sakiti Hatinya dan Sepanjang Jalan Kenangan tetap berfikiran positif malah berbesar hati untuk diwawancara oleh BERITAmediacorp.

“Banyak sekali pelajaran yang saya dapat. Mungkin belum waktunya sekarang tapi pelajaran ini sangat berharga. Relawan yang saya punya tidak akan saya lepaskan begitu saja. Saya tetap akan membina mereka. Nanti kalau 5 tahun mendatang, kalau saya mau ikut lagi (bertanding) kan juga bagus,” dedah penyanyi malar segar itu.

(Gambar: Instagram/Iis Sugianto)

Penyanyi manis itu turut menerangkan bahawa beliau prihatin terhadap rakyat dan ingin menyumbang tenaga dan buah fikirannya kepada negara tercinta.

“Kalau kita fikirkan kenapa Iis Sugianto mahu susah-susah ya sudah jadi artis, sudah senang, sudah nyaman kenapa harus terjun ke dunia politik? Semua kerana saya peduli.”

Kesedaran itu berputik ketika beliau menjadi juri rancangan Mikrofon Pelunas Hutang beberapa tahun lalu di mana beliau melihat ramai rakan senegaranya yang terjerat dengan hutang, hidup susah dengan tiada mata pencarian.

KAUM WANITA DI INDONESIA MESTI BELAJAR BERDIKARI

Antara keprihatinan utama beliau adalah untuk membantu golongan wanita agar dapat terus berdikari.

“Mungkin akademiknya kurang tapi kita percaya bahawa setiap orang itu bisa (boleh) diberi kemampuan untuk mencari nafkah asalkan dia mahu menggali potensi yang ada dalam dirinya.”

Meskipun tewas, Iis tetap mahu meneruskan program-program yang telah dilaksanakannya sewaktu berkempen. Antara program yang dihasilkan oleh Presiden Jokowi adalah 'kartu'. Kartu percuma adalah untuk rakyat yang ingin belajar sampai ke menara gading. Terdapat juga kartu bagi mereka yang ingin bekerja dan memerlukan latihan.

“Program itu bagus sekali membantu. Jadi saya kahwinkan program Pak Jokowi dengan saya punya. Saya ingin kampung-kampung lebih maju di dalam segala hal. Saya ingin menambah pendapatan setiap warga di daerah pilihan saya.”

Sasaran beliau adalah golongan menengah ke bawah.

“Saya akan ke kampung-kampung yang memang sangat kekurangan. Mereka mahu merubah dirinya juga sulit kerana pendidikannya rendah, mereka terlilit hutang. Memang harus dibantu,” kata Iis.

(Gambar-gambar: Instagram/Iis Sugianto)

Apa pula pandangan penyanyi tersebut terhadap Presiden Jokowi?

“Kesederhanaannya, kejujurannya, prestasinya. Dia seorang Presiden tapi anaknya tetap berjualan martabak dan pisang goreng. Di mana ada Presiden seperti itu? Dia tetap hidup merakyat, sederhana sekali, ngak (tidak) mempergunakan jabatannya untuk kepentingan dirinya tapi dia tetap fokus. Dihina, dicaci dia tetap fokus bekerja untuk rakyat. Itu yang saya kagumi.Tidak pernah sakit hati dicaci, dihina, difitnah,” ujar Iis lagi.

Iis juga ditanya sama ada beliau kecewa kerana gagal memenangi kerusi Parlimen. Respons wanita berusia 57 tahun ini begitu jujur sekali: “Ngak kerana ini undangan dari ibu Mega. Saya merasa tersanjung diundang. Kita diberikan logistik, kita diajar. Banyak pelajaran yang saya dapat, bagaimana mengelola relawan, bagaimana masalah di kawasan saya.”

Pesannya juga agar jangan sesekali sakit hati sekiranya ada yang mengatakan golongan artis tidak akan mampu menjadi ahli politik yang baik.

“Kita tunjukkanlah bahawa kita akan mampu. Kita gali ilmu bagaimana menjadi politician (ahli politik) yang baik,” tegas beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan