Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Perjalanan seni Wahid Satay, S. Shamsudin diabadi dalam buku

Buku riwayat kisah kehidupan dua seniman filem melayu klasik, S. Shamsudin dan Wahid Satay, diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda.

Anggaran Waktu Membaca:
Perjalanan seni Wahid Satay, S. Shamsudin diabadi dalam buku

Buku biografi 'Ceria Bersama S. Shamsudin dan Wahid Satay' diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda. (Gambar: @FilemKita/Twitter)

Diterbitkan : 26 Mar 2019 01:53PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 02:02PM

KUALA LUMPUR: Buku riwayat kisah kehidupan dua seniman filem melayu klasik, S. Shamsudin dan Wahid Satay, diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda.

Namun pada masa yang sama, buku biografi 'Ceria Bersama S. Shamsudin dan Wahid Satay' memberi para peminat yang menghargai bakat seni mereka peluang untuk mendalami perjalanan hidup serta perit jerih kedua-dua seniman dalam usaha mencapai impian mereka.

"Penghasilan buku ini memberi mereka ruang untuk mengetahui lebih mendalam kisah perjalanan seni saya.

"Bermula di Cathay-Keris Film Productions di Singapura bersama Mat Sentul, saya seterusnya mendapat peluang berlakon di Kuala Lumpur," kongsi Wahid, atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad, kepada laman BH Online.

Wahid, 89 tahun, berkata beliau berasa terharu dengan penerbitan buku oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi mengenang jasa dua tokoh pelopor filem melayu klasik semasa era kegemilangan 1950an.

"Saya bertuah dan berbangga kerana FINAS sudi menerbitkan buku mengenai perjalanan seni saya dan S. Shamsudin."

Beliau menambah: "Melihat nama kenalan yang terpahat di sini (FINAS), saya sedih mengenangkan kehilangan mereka. Janganlah dilupakan perjuangan seni mereka. Untuk yang masih ada, kenanglah mereka ketika hayat dikandung badan."

Wahid memberitahu BH Online bahawa beliau berharap, penghasilan buku itu juga dapat menjadi pemangkin untuk menghargai insan seni lain yang pernah membuat pengorbanan dan berjuang dalam seni lakonan dan perfileman.

Malah menurut beliau, buku itu dianggap sebagai catatan riwayat perjalanan seninya untuk dikongsi bersama para pejuang seni lain.

"Sebagai anak seni, tidak banyak dapat dititipkan, melainkan secebis kisah untuk dikenang dan diabadikan,” katanya seperti yang dipetik oleh BH Online, ketika ditemui di majlis Imbas Kembali dan Layar Bintang baru-baru ini.

Majlis itu diadakan bagi mengenang seniman Allahyarham Mustapha Maarof dan Allahyarham Aziz Sattar sempena Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke-30.

Buku 'Ceria Bersama S. Shamsudin dan Wahid Satay' turut dilancarkan di majlis tersebut. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa