Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pereka fesyen S'pura Adam Rashid siapkan busana perkahwinan artis M'sia sekeluarga dalam tempoh 2 minggu

Sejak 2018, Adam Rashid banyak mereka pakaian artis ternama M'sia, termasuk diberi tanggungjawab mencabar seperti hasilkan baju baru untuk seorang artis yang berbadan dua - dalam tempoh 24 jam!

Anggaran Waktu Membaca:
Pereka fesyen S'pura Adam Rashid siapkan busana perkahwinan artis M'sia sekeluarga dalam tempoh 2 minggu

Adam Rashid (kiri) bersama artis M'sia, Elly Mazlein (Gambar ihsan: Adam Rashid)

BERITAmediacorp: Mampukah seorang pereka fesyen Singapura menyiapkan busana dalam masa dua minggu sahaja untuk artis glamor dari Kuala Lumpur?

Pereka fesyen dari Singapura Adam Rashid, membuktikan beliau bukan sahaja berjaya memenuhi cabaran yang dilontarkan kepadanya itu, bahkan juga turut menghasilkan pakaian baru bagi keluarga pengantin seramai tujuh anggota untuk hari bahagianya itu.

Adam Rashid diberi amanah oleh pelakon Emma Maembong untuk majlis sekali dalam seumur hidup artis tersebut pada tahun ini.

Lebih mencabar lagi Adam menyiapkan hasil tangannya dari mula hingga akhir dari butiknya di Singapura; secara sendiri kerana beliau lebih selesa dengan prinsip “one man show” tanpa sebarang pembantu.

Ketika ditemui baru-baru ini, pereka serba boleh itu berkata:

“Adam sangat khusus dan OCD. Tak nak kalau salah kena buka balik jahitan. Buang masa. Rasa puas hati kerana usaha kita tidak sia-sia sebab bila mereka pakai dan kata ia cantik, itu yang kita nak dengar.”

Adam Rashid bersama artis, Mimifly (Gambar ihsan: Adam Rashid)

Adam Rashid bersama artis, Mimifly (Gambar-gambar ihsan: Adam Rashid)

Sebenarnya Adam Rashid baru sahaja mempelbagaikan skop rekaan fesyen beliau dari tahun 2018 apabila Adam mula mereka busana untuk artis-artis popular Malaysia seperti Fasha Sandha, Elly Mazlein dan Mimifly.

BERTAPAK DI BUTIK MILIK IBU BAPANYA DI GOLDEN LANDMARK

Adam pernah juga menghasilkan suit untuk barisan penyanyi yang bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (TV3) seperti Naim Daniel, Sufian Suhaimi dan Bob Yusof .

Berbekalkan diploma fesyen dari Kolej La Salle yang dimilikinya pada tahun 2008, jejaka tersebut mencuba nasib dengan busana pengantin dahulu sambil membantu ibu bapanya yang membuka butik di Golden Landmark.

Artis pertama yang pernah memperagakan busana rekaan Adam Rashid ialah penyanyi Mimifly pada 2018 bagi Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Kongsi beliau: “Bila dah 'network' di KL, ia berangkai sehingga ke artis-artis lain.”

Adam Rashid bersama artis, Naim Daniel (Gambar ihsan: Adam Rashid)

Adam (kanan) bersama Naim Daniel.

Bagaimanakah beliau yang baru sahaja berjinak-jinak menghasilkan busana dan suit untuk artis-artis popular sejak tahun 2018 berjaya menambat hati artis-artis tersebut?

“Mereka dapat tahu dari Instagram Adam setelah melihat saya buat baju untuk Mimifly. Saya rasa ABPBH adalah platform yang baik kerana ramai artis ada. Mereka bertanya sama ada Adam boleh buat baju untuk muzik video dan persembahan,” jelas beliau dengan nada gembira.

Adam juga berjaya menghasilkan busana untuk pelakon Fasha Sandha yang ketika itu berbadan dua dalam masa 24 jam sahaja! Fasha tertarik dengan sentuhan pereka fesyen tersebut setelah melihat hasil tangan Adam untuk majlis merisik penyanyi Elly Mazlein.

Elly Mazlein dan suami

Elly Mazlein dan suami.

Adam berpeluang menyiapkan baju merisik serta baju bersanding penyanyi Elly Mazlein bagi majlis di Kelantan. Kongsinya bersama BERITAmediacorp:

“Saya rasa teruja. Elly Mazlein nak bagi Adam peluang membangkitkan nama saya di Malaysia. Dialah orang yang banyak berjasa sebab dari majlis dia itu, gambar 'dulang girls' menjadi viral.”

Cabaran tetap ada kerana sesetengah artis wanita inginkan busana yang benar-benar “bodyfit".

“Bukan mudah nak menyenangkan wanita. Kalau lelaki senanglah, hanya suit saja,” kata beliau sambil tertawa.

REZEKI DI LUAR JANGKAAN

Kata orang, rezeki jangan ditolak. Baru-baru ini, Adam telah dihubungi oleh pihak televisyen Astro untuk menghasilkan pakaian untuk penyanyi lelaki Oja untuk acara mingguan Gegar Vaganza.

Beliau turut bersyukur juga kerana telah diberi kesempatan untuk ditampilkan oleh rancangan NONA terbitan TV3 pada tahun ini. Rancangan popular di kalangan wanita itu menonjolkan Adam dari Singapura dengan koleksi busana Hari Raya di samping nama-nama besar di sana.

“Adam rasa bangga sebab dalam ramai-ramai pereka fesyen Malaysia yang ditampilkan, saya sahaja seorang dari Singapura."

Beliau sebenarnya tidak sangka akan dapat bekerjasama dengan artis-artis popular seperti pelakon Fasha Sandha dan Elly Mazlein yang selama ini hanya mampu ditonton di kaca televisyen sahaja. Katanya:

Fasha Sanda dan suami

Fasha Sandha dan suami

“Bila kita tengok pereka Malaysia pun kita rasa tak mungkin kita boleh dapat ke tahap mereka sebab kita di Singapura pun ramai pesaing. Nak mendekati mereka pun kita tak tahu nak mulakan dari mana.”

PASARAN DI S'PURA TIDAK DIABAIKAN

Beliau tidak menafikan bahawa tahun 2018 menjadi titik perubahan kepada kerjaya beliau kerana pada awalnya Adam hanya sangkakan tumpuannya hanyalah kepada perniagaan pengantin di Singapura sahaja.

Meskipun semakin mendapat perhatian di seberang tambak, Adam akan tetap mereka busana untuk majlis perkahwinan di Singapura juga.

Persaingan di Malaysia sendiri sudah tentu kuat di mana beliau akur masih banyak lagi yang harus dipelajarinya kerana akuinya:
“Adam belum lagi ke tahap macam Rizalman atau Rizman Ruzaini, lah.”

Adam belum terfikir untuk berhijrah ke Kuala Lumpur kerana keluarganya ada di Singapura.

Sudah tentu beliau terfikir untuk membuka kedai di Kuala Lumpur memandangkan sudah ada pelanggan dari Kuala Lumpur dan Johor yang memerlukan khidmat Adam.

Label jenama Adam Rashid

Berkat kesungguhan dan kerja keras beliau, Adam telahpun dilamar oleh seseorang dari Kuala Lumpur sebagai pereka fesyen untuk label usahawan tersebut yang inginkan Adam mereka koleksi pakaian kasual.

Kata Adam mengakhiri temu bual bersama penulis:
“Memang gembira sebab diberi kepercayaan sekali lagi. Saya akan lakukan yang terbaik dan tidak akan menghampakannya”

Selamat maju jaya kepada anak watan Singapura ini! 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan