Skip to main content

Hiburan

Perbicaraan kes lelaki serang Kamal Adli ditangguh kepada 30 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes lelaki serang Kamal Adli ditangguh kepada 30 Mei

Keadaan Kamal Adli selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura berikutan serangan di Singapore Expo pada 12 Mac 2023. (Gambar: kamaladli/Instagram)

SINGAPURA: Mahkamah membenarkan penangguhan empat minggu lagi untuk pegawai penyiasat melengkapkan siasatan ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

Hakim Daerah Ong Hian Sun turut mengekalkan perintah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada 4 April, mahkamah bersetuju terhadap permohonan pendakwa raya supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan penangguhan kes selama empat minggu sehingga Selasa (2 Mei).

Tertuduh sebelum itu direman tiga minggu di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemerhatian psikiatri.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negara pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya.”

Jika sabit kesalahan terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Pada 12 Mac kira-kira 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan mengenai suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan belantan di 1 Expo Drive. Alat itu dirampas polis sebagai barang bukti kes.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura ketika kejadian itu berlaku di penghujung acara.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita