Skip to main content

Hiburan

Penyanyi tempatan Eiss wakili Singapura dalam Gegar Vaganza musim ke-12

Keghairahan hangat terasa apabila penyanyi tempatan Iskandar Ismail atau Eiss sah mewakili negara dalam program realiti oleh saluran televisyen Malaysia ASTRO, Gegar Vaganza musim ke-12 yang bakal bermula pada Ahad 2 November.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi tempatan Eiss wakili Singapura dalam Gegar Vaganza musim ke-12

Penyanyi tempatan Iskandar Ismail atau Eiss mewakili Singapura dalam Gegar Vaganza musim ke-12. (Gambar: Astro Gempak)

SINGAPURA: Keghairahan hangat terasa apabila penyanyi tempatan Iskandar Ismail atau Eiss sah mewakili negara dalam program realiti oleh saluran televisyen Malaysia ASTRO, Gegar Vaganza musim ke-12 yang bakal bermula pada Ahad 2 November.

"'Seronok sangat, dan gementar, kerana pesaing saya nanti semua artis-artis hebat!" luah Eiss menerusi panggilan telefon bersama wartawan Roslinda Rahmat sejurus sebelum bermula sidang media di TRX, Kuala Lumpur pada jam 8 malam tadi (Khamis 23 Oktober).

Namun, dengan nada serius, Eiss menerangkan bahawa penyertaannya adalah untuk menguji keupayaan diri sendiri, mengikut prinsip peribadi yang ingin maju dan terus maju. "Saya tidak mahu terlalu selesa di mana saya berada. Saya nak keluar daripada zon keselesaan. Saya ingin buktikan pada diri sendiri bahawa saya boleh terus tingkatkan diri."

Tampil ranggi dengan kot hitam yang segak, Eiss mendedahkan bahawa beliau telah menandatangani kontrak dua campur satu tahun bersama Mind Order, yang merupakan pihak pengurusan Juara GV ke-6 Naqiu. Ia juga menguruskan Erra Fazira dan ramai artis terkenal.
Eiss di sidang media bagi GV12. (Gambar: Firdaus Ridwan)
"Saya banyak belajar dari Mind Order dan mereka juga menaruh harapan tinggi ke atas diri saya," kongsi Eiss.

Tambahnya, segala urusan ulang-alik antara Singapura dengan Kuala Lumpur, busana dan sebagainya dijalankan pihak pengurusan. Eiss mengaku akan kekal merendah diri dan tidak sabar untuk terus belajar daripada guru vokal yang sudah disediakan.

TARIKAN SUARANYA MEMUKAU PENONTON

Di sidang media tersebut, sewaktu ditanya hos acara, Eiss mendedahkan bahawa beliau mendapat panggilan dari Astro untuk ikut serta, dan beliau terus menyahut cabaran itu.

Sewaktu menarik suaranya menerusi lagu berjudul 'Adakah Mungkin' di sidang media tadi, dewan menjadi sunyi buat beberapa ketika demi menghayati nyanyiannya yang kemudian disambut dengan teriakan kagum dan tepukan-tepukan penghargaan oleh penonton.

SIAP BEKERJA KERAS SEPANJANG TIGA TAHUN KE DEPAN DI SEBERANG

Ditanya bagaimana kehidupannya akan berubah, Eiss berkongsi bahawa beliau sudah mempersiap minda untuk bekerja keras, berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap Khamis hingga Isnin atau Selasa sebelum pulang ke Singapura untuk menghabiskan sehari-dua bersama keluarga, dan kemudian bergegas lagi menaiki penerbangan ke KL untuk meneruskan perjuangan. Semua ini, sambil membuat kerja rumah - menghafal lirik, mempelajari melodi, merancang persembahan dan sebagainya.
Penyanyi tempatan Iskandar Ismail atau Eiss. (Gambar: Eiss)
Bermula 2 November, jam 9 malam di TV Astro, GV-12 akan diriuhkan oleh pasangan pengacara: Sherry Alhadad dan Nabil Ahmad yang sudah mengacarakan GV selama 12 tahun berturut-turut.

Konsep eksklusif baru didedahkan bagi musim kali ini. Ia diberi nama “GV-Verse”, sebuah dimensi yang diinspirasikan daripada aura dan keunikan bintang-bintang GV12.

Barisan juri tetap Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz akan mengadili 13 peserta yang mula berkarya dari tahun 1980-an hingga 2000-an iaitu:

Barisan peserta GV12:
1) Krisya
2) Mell Sakura
3) Eiss
4) Shy8 (Usop Milcha)
5) Shae (dari Indonesia)
6) Nubhan
7) Kumpulan Freshies
8) Mendua (Indonesia)
9) Mark Adam
10) Elaine Kang
11) Korie
12) Ruri Repvblik (Indonesia)
13) Rahmat Ekamatra

Eiss yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik itu pernah dinobatkan Juara dalam pertandingan SG Mania di TV Mediacorp Suria, selain berjaya menonjolkan bakat nyanyiannya di Festival Muzik Shanghai Asia, juga pernah menyertai Anugerah 2001.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita