Penyanyi Shazza juara pertandingan 'Berani Lakon!'
SINGAPURA: Penyanyi tempatan Shazza dinobatkan sebagai juara 'Berani Lakon!', pertandingan pencarian bakat lakonan yang menampilkan peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang tidak mempunyai pengalaman lakonan formal.
Peringkat akhir Berani Lakon! disiarkan pada Selasa (10 Feb) di saluran Mediacorp Suria.
Kemenangan tersebut dianggap istimewa kerana Shazza, atau nama sebenarnya Shareefa Aminah Abdul Shariff, berjaya menampilkan persembahan penuh penghayatan di pentas akhir, meskipun bahasa Melayu bukan bahasa pertamanya, sekali gus mengatasi lima finalis lain dalam persaingan sengit yang berlangsung selama sembilan minggu.
JURI JEMPUTAN SHARIFAH AMANI DAN SOFIA JANE PUJI WADAH BERANI LAKON! CUNGKIL BAKAT TEMPATAN
Mengulas mengenai penyertaan peserta dalam pertandingan ini, juri jemputan pelakon Malaysia, Sofia Jane berkata keunikan Berani Lakon! terletak pada keberanian peserta mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan mereka.
“Faktor paling menarik ialah apabila kita melihat orang yang mungkin tidak mempunyai latar belakang lakonan, melakukan sesuatu yang di luar kotak dan di luar kebiasaan mereka secara langsung di atas pentas,” katanya.
Seorang lagi juri jemputan, pelakon Sharifah Amani, turut menyatakan keterujaannya melihat bakat-bakat dari Singapura dan menganggap pentas Berani Lakon! sebagai ruang penting untuk mencungkil potensi baharu.
“Saya memang teruja kerana Singapura sememangnya kaya dengan bakat, dan saya juga sangat menggemari teater di sini,” katanya.
Sebagai juri, Sharifah Amani berkata beliau mahu melihat peserta benar-benar mendalami watak yang dibawakan tanpa rasa segan.
“Saya mahu mereka pegang dan mendalami watak mereka sepenuhnya, tanpa rasa malu atau segan,” ujarnya.
Mengulas kemenangannya, Shazza mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai juara.
“Saya benar-benar tidak menjangkakan keputusan malam ini. Saya langsung tidak menjangka apa-apa, apatah lagi kemenangan ini.” katanya.
Menurut Shazza, penyertaannya dalam 'Berani Lakon?' telah meningkatkan keyakinan dirinya dari episod pertama hingga ke peringkat akhir pertandingan.
SHAZZA KE BIDANG LAKONAN
Apabila ditanya sama ada beliau berminat untuk bergiat secara profesional dalam bidang lakonan, Shazza tidak menolak kemungkinan tersebut.
“Kalau ada peluang, saya akan cuba. Saya tak tahu ke mana ia akan membawa saya, tapi kalau ada tawaran untuk berlakon, saya akan buat yang terbaik,” katanya.
Kesemua episod Berani Lakon! boleh ditonton di meWATCH dan YouTube Mediacorp Entertainment.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.