Penyanyi Sean Kingston dihukum penjara 3.5 tahun atas skim penipuan AS$1j

Sean Kingston bersama ibunya Janice Turner di Anugerah Muzik Amerika yang ke-40 pada 18 Nov 2012 di Los Angeles. (Gambar fail: Jordan Strauss/Invision/AP)
Kingston, atau nama sebenarnya ialah Kisean Paul Anderson, dan ibunya, Janice Eleanor Turner, didapati bersalah pada Mac oleh juri persekutuan atas tuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan online dan empat tuduhan penipuan online.
Turner dijatuhi hukuman penjara lima tahun bulan lalu.
Sebelum Hakim Persekutuan David Leibowitz menjatuhkan hukuman, Kingston memohon maaf kepada mahkamah di Florida Selatan dan berkata bahawa beliau telah belajar daripada kesilapannya.
Peguamnya meminta agar Kingston dibenarkan menyerah diri kemudian atas sebab kesihatan, namun hakim memerintahkan beliau ditahan serta-merta.
Kingston, yang memakai sut hitam dan kemeja putih, menanggalkan jaketnya sebelum digari dan dibawa keluar dari mahkamah.
Penolong Pendakwa Raya Persekutuan Marc Anton menggambarkan Kingston sebagai seseorang yang ketagih kepada gaya hidup selebriti walaupun tidak mampu lagi mengekalkannya.
“Dia jelas tidak suka membayar dan bergantung pada status selebritinya untuk menipu mangsa,” kata Encik Anton.
Beliau menyifatkan Kingston sebagai seorang penipu yang sejak bertahun-tahun menggunakan taktik membuli untuk mendapatkan barangan mewah, kemudian enggan membayar.
“Dia seorang pencuri dan penipu, ringkas dan jelas,” tambah Encik Anton.
Peguam bela Zeljka Bozanic pula berhujah bahawa Kingston, 35 tahun, masih mempunyai mentaliti remaja - usia ketika dia mula menjadi terkenal.
Menurutnya, Kingston hampir tidak tahu-menahu tentang kewangan sendiri, bergantung sepenuhnya kepada pengurus perniagaan dan ibunya.
Cik Bozanic berkata Kingston sudah mula membayar balik mangsanya dan berhasrat untuk melunaskan semua hutang setelah dibebaskan dan boleh bekerja semula.
Kingston dan ibunya ditangkap pada Mei 2024 selepas pasukan SWAT menyerbu rumah agam mewah yang disewanya di pinggir Fort Lauderdale.
Turner ditahan semasa serbuan, manakala Kingston ditangkap di Fort Irwin, sebuah pangkalan latihan tentera di Gurun Mojave, California, semasa beliau sedang membuat persembahan.
Menurut rekod mahkamah, dari April 2023 hingga Mac 2024, Kingston menggunakan media sosial untuk mengatur pembelian barangan mewah.
Selepas membuat rundingan, beliau akan mempelawa penjual ke salah satu rumah mewahnya di Florida dan berjanji untuk mempromosikan mereka dan produk mereka di media sosial.
Namun, apabila tiba masa untuk membuat pembayaran, Kingston atau ibunya akan menghantar bukti bayaran palsu melalui mesej teks kepada mangsa - antaranya termasuk sebuah kenderaan Escalade kalis peluru, jam tangan mewah, dan televisyen LED bersaiz 19 kaki (5.9 meter).
Apabila bayaran tidak diterima, mangsa kerap menghubungi Kingston dan Turner berulang kali, namun sama ada tidak dibayar langsung atau hanya menerima bayaran selepas memfailkan saman atau melaporkan kepada pihak berkuasa.
Kingston menjadi terkenal pada usia 17 tahun dengan lagu hit pada 2007 "Beautiful Girls", yang menggunakan melodi lagu klasik "Stand By Me" oleh Ben E. King.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.