Skip to main content

Hiburan

Penyanyi Salamiah Hassan kembali bergelar isteri

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Salamiah Hassan kembali bergelar isteri

Salamiah Hassan kembali bergelar isteri kepada Gerry Hughes pada 1 Sept di Burnie, Tasmania, Australia. (Gambar: @atiliaharon/Instagram)

Diterbitkan : 01 Sep 2022 02:28PM
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 35 tahun hidup bersendirian, penyanyi terkenal, Salamiah Hassan kembali bergelar isteri kepada Gerry Hughes.

Salamiah, 71 tahun, dan Hughes, 68 tahun, disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Burnie, Tasmania, Australia pada Khamis (1 Sep). Majlis tersebut dikendalikan oleh seorang jurunikah yang berasal dari Malaysia.

Menurut biduanita era 70-an yang cukup terkenal dengan lagu Menghitung Hari dan Gelombang itu, dia dan Hughes mula mengenali antara satu sama lain sekitar 15 tahun lalu sebagai kenalan biasa.

Bagaimanapun, takdir mengubah segala-galanya apabila kedua-dua mereka sepakat untuk membawa
hubungan persahabatan ke fasa yang lebih serius.

“Semuanya berlaku sangat pantas. Selepas berbincang dari hati ke hati serta mengambil kira pandangan seluruh ahli keluarga, kami memilih disatukan sebagai suami isteri."

“Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya bersyukur Allah menemukan saya dengan seorang lelaki yang budiman selepas sekian lama saya bersendirian,” kata Salamiah kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Memandangkan sudah bergelar isteri, Salamiah memberitahu bahawa dia akan menetap di Australia bersama suaminya.

“Saya sudah ada tanggungjawab baru di Australia, saya harus berada di sisi suami saya. Namun, Malaysia sentiasa kekal di hati, saya pasti akan berulang-alik antara Malaysia dan Australia,” kata Salamiah yang juga merupakan ibu kepada penyanyi terkenal, Atilia itu lagi.

Menurut Salamiah, selama hidup bersendirian selepas berpisah dengan suami pertama, beliau tidak pernah terfikir akan kembali menjadi isteri orang.

Sebagai seorang wanita yang berdikari, Salamiah berkata bahawa urusan jodoh dan pertemuan diserahkan kepada Allah termasuk pertemuannya dengan Hughes yang berasal dari Liverpool tetapi kini menetap di Australia.

“Alhamdulillah, saya ditemukan dengan seorang lelaki yang baik. Yang penting anak-anak dan ahli keluarga saya menerima kehadirannya dengan baik. Begitu juga dengan keluarga Hughes juga sangat menyenangi saya."

“Saya berdoa kepada Allah agar segala urusan saya dan suami dipermudahkan,” ujar Salamiah lagi, dipetik daripada Astro AWANI.

Selain Atilia, Salamiah juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Raja Ahmad Shah.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita