Skip to main content

Hiburan

Penyanyi rok Nash alami serangan jantung; 80% saluran jantung tersumbat

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi rok Nash alami serangan jantung; 80% saluran jantung tersumbat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 21 Apr 2026 06:21PM Dikemas Kini : 21 Apr 2026 06:22PM
KUALA LUMPUR: Penyanyi rok, Nash, 67, dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang pada Isnin (20 Apr) selepas mengalami serangan jantung.

Beliau bagaimanapun sudah dibenarkan pulang pada Selasa selepas menjalani prosedur memasukkan sten dan belon.

Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias, yang juga vokalis kumpulan Lefthanded berkata keadaan beliau stabil, namun perlu menjalani tempoh pemantauan dan pemulihan selama dua minggu sebelum dapat aktif seperti biasa.

"Doktor sudah maklumkan saya boleh pulang hari ini, cuma perlu dipantau selama dua minggu. Dalam tempoh itu, ada beberapa pantang-larang yang perlu dipatuhi," kata beliau, seperti dinukil BH Online.

"Saya tak boleh angkat benda berat, tak boleh memandu dan perlu kurangkan penggunaan tangan kanan kerana prosedur dilakukan melalui saluran darah di bahagian kanan.

"Sekarang saya dalam keadaan selamat dan sudah menjalani prosedur memasukkan sten dan belon pada jantung. Di hospital ini memang ramai pakar. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan," katanya kepada BH Online.

Mengimbas detik sebelum menerima rawatan, Nash berkata, beliau pada awal menyangka hanya mengalami masalah kesihatan biasa sebelum simptom yang dirasai itu menjadi semakin serius.

Selepas beberapa hari mengalami masalah sama, Nash berkata, dia akhirnya memutuskan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Sebenarnya bukan sesak nafas, tetapi saya rasa seperti dicucuk pada bahagian jantung. Pada mulanya sekali-sekala, tetapi lama-kelamaan semakin kerap.

"Sudah dua hingga tiga hari saya alami keadaan itu. Jadi, semalam, saya ambil keputusan untuk beritahu terus ke hospital.

"Menantu saya yang bawa, dan pada hari sama juga saya jalani prosedur memasukkan sten dan belon. Semua prosedur selesai kira-kira dua jam," katanya, seperti dipetik BH Online.

Berkongsi keadaan terkini, penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu mengakui masih berasa lemah dan perlu banyak berehat sepanjang tempoh pemulihan.

"Keadaan sekarang, badan memang terasa sedikit lemah dan mudah mengantuk. Kadang-kadang rasa seperti melayang, terutama jika berdiri lama, jadi memang perlu duduk dan berehat," katanya.

Dalam pada itu, Nash berkongsi masalah jantung dialami berpunca daripada dua faktor utama.

"Bagi saya, keadaan ini berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya pemakanan yang tidak teratur. Kadang-kadang makan ikut suka, makan berlebihan dan memilih makanan yang sedap tanpa kawalan.

"Saya akui sekarang berat badan juga sudah bertambah kerana tidak menjaga pemakanan dengan baik. Selain itu, merokok juga antara punca utama kepada masalah jantung ini," katanya.

Pada Isnin, Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid dilapor berkongsi keadaan Nash yang selesai menjalani pembedahan selepas menerima maklumat daripada anak penyanyi berkenaan, Shameer.

Ayob dilapor berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 80 peratus saluran jantung penyanyi itu tersumbat, sekali gus memerlukan tindakan segera.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita