Skip to main content

Hiburan

Penyanyi rock Rahim Maarof beransur pulih; jalani terapi pergerakan fizikal, pertuturan

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi rock Rahim Maarof beransur pulih; jalani terapi pergerakan fizikal, pertuturan

(Gambar: Instagram/Rahim Maarof)

Diterbitkan : 02 Jun 2023 04:52PM
KUALA LUMPUR: Penyanyi rock legenda, Rahim Maarof, 68 tahun, yang dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh pada hujung Mac lalu kerana penyakit darah tinggi kini sudah mula menunjukkan perkembangan positif.

Berkongsi perkara itu, anak kedua Rahim iaitu Jasmin Rayhan, 30 tahun, berkata bapanya sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas Aidilfitri lalu, namun perlu mengikuti beberapa sesi rawatan di hospital sama.

"Buat masa ini, ayah perlu menjalani rehabilitasi sebab perlu latih semula fizikal termasuk pertuturan dan masih perlu memakai tiub.

"Ayah juga perlu berehat dalam tempoh agak panjang, tetapi selepas menjalani proses rawatan bersama doktor, saya harap ayah kembali pulih sepenuhnya.

"Keadaannya ketika ini juga dilihat sudah semakin baik, cuma untuk bercakap atau melakukan pergerakan fizikal perlu menjalani terapi," katanya kepada BH Online.

Cik Jasmin berkata, antara punca mendorong bapanya menghidap penyakit darah tinggi kerana tidur dan makan yang tidak teratur.

"Ayah adalah seorang yang bekerja keras, jadi mungkin disebabkan itu, waktu tidur dan makannya tidak teratur. Ia kemudian mendorong kepada terjadinya tekanan darah tinggi.

"Ini adalah kali pertama ayah mengalami sakit seperti ini dan dalam kalangan ahli keluarganya juga tiada. Jadi, kami sangat terkejut mengetahui ayah diserang penyakit darah tinggi," katanya dalam petikan laporan BH Online.

Ditanya keinginan penyanyi popular sekitar 1980-an dan 1990-an untuk kembali beraksi di pentas, Cik Jasmin berkata, keluarganya perlu memastikannya pulih sepenuhnya terlebih dahulu.

"Memang ayah ada cakap mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian, tetapi sebagai keluarga, kami sentiasa menasihatkannya bersabar dan banyakkan berehat.

"Apabila pulih sepenuhnya, ayah boleh kembali menghiburkan peminatnya," katanya, menurut BH Online.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita