Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi pop yeh yeh M. Masnawi meninggal dunia

Allahyarham M. Masnawi yang dikenali dengan lagu Nantilah Daku Di Ambang Syurga dijangka dikebumikan pagi ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi pop yeh yeh M. Masnawi meninggal dunia

Allahyarham M. Masnawi. (Gambar: Restam Halid/Facebook)

BERITAmediacorp: Penyanyi era 1960-an dan 1970-an M. Masnawi menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Ahad (7 Ogos).

Khabar duka itu disampaikan oleh sumber BERITAmediacorp serta anggota keluarga dan rakan-rakan Allahyarham di media sosial.

Kenalan lama Allahyarham yang dikenali sebagai Rose Rusli memaklumkan kepada BERITAmediacorp bahawa jenazah Allahyarham berada di rumahnya di Potong Pasir.

Menurut beliau, jenazah akan dibawa ke pusara pada pukul 10.30 pagi ini (8 Ogos).

M. Masnawi merupakan salah seorang penyanyi pujaan ramai era 1960-an dan 1970-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio, termasuk Oh Purnama dan Nantilah Daku Di Ambang Syurga.

(Gambar: Famili Artis-Artis Legenda/Facebook)
Ketika itu pengaruh kumpulan The Beatles dari England mewujudkan irama pop yeh-yeh dari 1965 hingga 1971. Istilah "pop yeh-yeh" diambil dari judul lagu popular The Beatles, (She Loves You - Yeh, Yeh, Yeh).

Penyanyi pada zaman 1960-an biasanya diiringi oleh sebuah kugiran.

M. Masnawi dilahirkan pada tahun 1946 dan mencipta nama dengan lagu Jangan Kau Tangiskan. M Masnawi pernah merakamkan lagu dengan iringan Kugiran Rian versi EP SIMA Record SM999.

Allahyarham juga adik kepada seniman M Wari.

Selepas bersara deripada bidang nyanyian, beliau kemudiannya bekerja sebagai tukang gunting. Pada tahun 2004, beliau diserang angin ahmar ketika bersendirian di rumahnya dan dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan