Skip to main content

Hiburan

Penyanyi, penggubah lagu Zubir Abdullah masuk ICU akibat serangan jantung

Setelah dua hari dirawat di ICU, penyanyi itu akhirnya dipindahkan ke wad biasa pada Isnin (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penyanyi dan penggubah lagu Zubir Abdullah dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH) setelah mengalami serangan jantung.

Serangan itu berlaku pada Jumaat malam (25 Sep) semasa Zubir berada di rumah. Beliau kemudian dikejarkan ke NUH dan pembedahan segera dijalankan kerana keadaannya sudah pada tahap berbahaya ketika itu.

Setelah dua hari dirawat di ICU, penyanyi itu akhirnya dipindahkan ke wad biasa pada Isnin (28 Sep).

Semasa BERITAmediacorp menghubungi anaknya Fathin Amira (finalis Singapore Idol Musim 3) semalam, Fathin memberitahu bahawa kami boleh bercakap kepada ayahnya secara langsung.

Related article image
Zubir Abdullah bersama anak perempuannya, Fathin Amira. (Gambar: Fathin Amira/Facebook)

Zubir Abdullah bersama anak perempuannya, Fathin Amira. (Gambar: Fathin Amira/Facebook)

Zubir memang dikenali sebagai seorang yang lemah lembut dan tenang. Semasa dihubungi menerusi panggilan telefon, itu jugalah perawakan beliau pamerkan - walaupun baru dua hari menjalani pembedahan demi menyelamatkan nyawanya.

Zubir memberitahu kami bahawa sakitnya sudah berkurangan selepas pembedahan tersebut. Namun kini beliau berdepan komplikasi lain pula dan sedang menunggu keputusan doktor bagi prosedur selanjutnya.

Seniman yang terkenal dengan irama tradisional itu - Zubir pernah mengiringi artis-artis antarabangsa seperti Anita Sarawak, Noraniza Idris, Kit Chan, Mark Chan, Art Fazil, Coco Lee - kini bergiat secara bebas sebagai pengarah muzik di Sri Warisan Som Said Performing Arts.

Menerusi wawancara ini, beliau juga sempat menitipkan beberapa nasihat penting dan perlu diberi perhatian oleh anda di luar sana.

INI YANG BERLAKU KEPADA ZUBIR SEMASA SERANGAN JANTUNG...

Malam Jumaat lalu, secara tiba-tiba Zubir mengalami rasa sakit yang dahsyat, seolah-olah jantungnya dicengkam begitu kuat.

Pada ketika itu, beliau sedar bahawa itu adalah serangan jantung dan segera menghubungi ambulans, yang tiba dalam masa 10 minit.

"Saya sendiri sudah tahu tanda-tanda (serangan jantung). Jadi saya rasa malam Jumaat itu macam ini sesuatu yang tak kena. Kami hubungi ambulans. Mereka datang, mereka buat ECG (elektrokardiogram) lepas itu mereka katakan mereka perlu kejarkan saya ke hospital kerana saya mengalami serangan jantung," cerita Zubir kepada BERITAmediacorp.

Penyanyi, penggubah lagu Zubir Abdullah, alami serangan jantung. (Gambar: Facebook/Zubir Abdullah)

Oleh kerana keadaannya agak berbahaya pada ketika itu, beliau segera diminta menjalani pembedahan angioplasti. Angioplasti adalah prosedur untuk kembali melancarkan pengaliran darah menerusi pembuluh darah.

"Saya didapati ada darah tersumbat. Itu yang menyebabkan serangan (jantung). Jadi saya terpaksa buat segera. Secara langsung dia buat.

"Semasa pembedahan (pula) ada komplikasi. Ada pendarahan. Ia dapat dikawal cuma selepas pembedahan itu saya diletakkan di wad ICU dalam dua hari. Baru hari ini (28 Sep) saya dimasukkan ke wad biasa,” kata beliau lagi.

Meskipun beliau berasa lebih baik selepas pembedahan itu, Zubir dimaklumkan pula bahawa pendarahan yang dialaminya "agak kritikal". Oleh kerana darah beliau agak pekat, ia menyebabkan jantungnya tersumbat.

Kini, pihak hospital sedang menimbangkan antara dua pilihan untuk membantu menanganinya.

"Sama ada melalui satu lagi pembedahan atau melalui ubat sahaja. Sebab dia ada risiko. Sebab doktor tidak boleh buat dua atau tiga kali masukkan angiogram itu. Sebab kita punya urat itu satu. Jadi khuatir akan pecah," kata Zubir, merujuk kepada proses yang mana tiub dimasukkan ke dalam pembuluh darah supaya doktor dapat melihatnya dengan jelas.

Tambah sulit lagi, Encik Zubir juga mempunyai alahan kepada pelbagai jenis ubat-ubatan.

Penyanyi, penggubah lagu Zubir Abdullah, alami serangan jantung. (Gambar: Facebook/Zubir Abdullah)

Lantaran itu, agak sukar untuk doktor menentukan ubat yang mana yang boleh diberikan kepada beliau. Ini selain, proses sembuh menerusi ubat-ubatan memakan masa yang agak lama berbanding pembedahan.

"Apabila diberi terlalu banyak ubat untuk tipiskan darah (supaya dapat mengalir dengan lancar), saya mengalami masalah pendarahan dalam mulut pula. Mulut saya berdarah. Setiap pagi sebelum saya nak basuh gigi berdarah mulut saya sebab sudah terlalu tipis.

"Jadi pihak hospital juga sedang fikirkan bagaimana caranya untuk menangani masalah saya menerusi pilihan-pilihan yang ada. Jika tidak terpaksa kena buat lagi satu angioplasti," ujar beliau, yang pernah membuat persembahan muzik di 50 bandar antarabangsa dan kini juga menjadi pensyarah muzik di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Sekolah Seni Visual dan Persembahan, NTU.

ALAMI TANDA-TANDA AWAL

Berkongsi lebih lanjut tentang serangan jantung itu, Zubir berkata beliau sebenarnya sudah merasakan ada yang tidak kena sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila kerap mengalami sesak nafas.

Related article image
Penyanyi, penggubah lagu Zubir Abdullah, alami serangan jantung. (Gambar-gambar: Facebook/Zubir Abdullah)

Sewaktu itu, Zubir juga menyedari bahawa apa yang dialaminya itu merupakan tanda-tanda awal sakit jantung. Namun, disebabkan pelbagai komitmen serta tanggungjawab yang perlu dijalankan dari hari ke hari, Zubir, yang turut bekerja sambilan sebagai pemandu Grab, cekalkan diri dan memakan ubat untuk melegakan sakitnya.

"Saya fikirkan komitmen saya. Ok saya sakit nak masuk hospital boleh saja. Tapi bagaimana komitmen saya.

"Apabila sesak nafas itu saya rasa macam ok makan ubat. Rehat, tenang. Jadi balik lagi, lepas itu berlaku lagi kemudian jadi balik lagi," kongsi beliau.

Penyanyi itu menambah, beliau ada membuat temu janji doktor yang sepatutnya jatuh pada hari Rabu (30 Sep) ini. Namun, pada Jumaat lalu, beliau mengalami sakit yang teramat sangat dan "tidak tahan" untuk menunggu beberapa hari lagi.

Zubir juga mengalami penyakit darah tinggi dan kencing manis.

ZUBIR AKUI ‘REDA’; KONGSI NASIHAT

Sementara menunggu keputusan doktor bagi prosedur seterusnya untuk membantu beliau pulih, Encik Zubir berkata beliau sudah berusaha dan sekarang beliau reda.

"Antara usahanya ialah saya masuk hospital. Apa pun keputusannya, saya kena terima kerana sebagai pakar, dan manusia juga mereka sudah cuba yang terbaik dari segi kepakaran mereka dalam bidang perubatan. Di hujung usaha ini, kita reda lah," ujar beliau, mengharapkan yang terbaik sahaja buat masa ini.

Penyanyi, penggubah lagu Zubir Abdullah, alami serangan jantung. (Gambar: Facebook/Zubir Abdullah)

Setelah mengalami episod ngeri itu veteran irama tradisional Melayu berusia 55 tahun itu mempunyai nasihat penting kepada semua yang yang membaca artikel ini.

"Jangan tunggu. Jangan tunggu sehingga jantung menjadi rosak (burnt). Oleh kerana sudah terlalu kerap saya kena serangan-serangan kecil, saya tunggu dan tunggu jadi itu yang menjadikan jantung itu hampir berhenti sebenarnya. Itu yang sebabkan pendarahan.

"Semakin saya melambatkan untuk masuk hospital itu sudah menyebabkan sebahagian besar dari jantung itu sudah rosak," kongsi beliau jujur.

4 TANDA AWAL SERANGAN JANTUNG

Maka itu beliau berkongsi empat tanda awal serangan jantung yang mesti diberi perhatian.

Pertama, adalah rasa pedih ulu hati dan refluks.

"Kadang-kadang kita fikir refluks (reflux) itu macam, mungkin disebabkan apa yang dimakan pagi tadi atau mungkin sebab tak makan pagi tadi. Kononnyalah. Ramai orang akan menyangka begitu. Tapi doktor pun nasihatkan saya supaya beritahu orang lain supaya jangan tidak mengendahkan tanda-tanda kecil seperti itu," kata Zubir.

Kedua, kerap berasa cengkaman pada bahagian dada.

"Selepas itu daripada rasa sempit pada bahagian dada, dia bawa kepada susah nak bernafas. Dia akan naik ke kerongkong.

"Apabila kerongkong rasa tegang itu yang kadang kita nampak orang yang tak sempat, dia jatuh terus dah keluar buih tepi (mulut). Itu maknanya dah terlepas lah," kongsi beliau tentang tanda yang ketiga.

Yang keempat, apabila seseorang mengalami peluh sejuk atau 'cold sweat'.

"Jadi jangan tunggulah. Makin ditunggu, itu yang kena serangan (jantung). Paling-paling serangan itu berlaku antara 15 dengan 20 minit. Jika ditangguh lagi, mungkin masih boleh selamat tetapi dalam keadaan angin ahmar atau koma.

"Masa 15 minit pertama itu amat kritikal. Ia penentu sama ada kita boleh diselamatkan atau tidak," pesan Encik Zubir kepada semua. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita