Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Nuradee sedar semula setelah sebulan koma, kini didiagnos alami tumor otak

Setelah sebulan koma di hospital, penyanyi Nur daripada kumpulan penyanyi adik-beradik Nuradee akhirnya sedar semula pada Selasa (14 Sep). Beliau kini sudah pulang dari Hospital Besar Sengkang (SKH).

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Nuradee sedar semula setelah sebulan koma, kini didiagnos alami tumor otak

Penyanyi Nur selepas beliau sedarkan diri pada 14 Sep 2021.

SINGAPURA: Setelah sebulan koma di hospital, penyanyi Nur daripada kumpulan penyanyi adik-beradik Nuradee akhirnya sedar semula pada Selasa (14 Sep). Beliau kini sudah pulang dari Hospital Besar Sengkang (SKH).

Walau demikian, Nur kini "hilang 50% ingatannya". Beliau juga didiagnos mempunyai tumor atau ketumbuhan pada otaknya. Tangannya juga sedang lumpuh ketika ini. Demikian dedah abangnya, Adee.

Nur diizin pulang dengan "harapan dapat mengembalikan ingatannya", kata Adee atau nama sebenarnya Mohamed Rasid Abdullah, 55 tahun.

(Gambar: Nuradee)

"Dia akan lupa-lupa, perlu ingatkan dia berulang kali dan dia akan bertanyakan soalan yang sama berulang-ulang," cerita Adee kepada BERITAmediacorp.

"Percakapannya agak tidak jelas. Tangannya lumpuh. Saya harus menjaganya untuk memastikan dia tak jatuh sebab kakinya pun lemah."

Secara keseluruhannya, Nur atau nama sebenarnya Mohamed Noor Abdullah, 53 tahun, terlantar di hospital selama dua bulan lamanya. Ini kerana sebelum ini beliau terlantar dalam ICU di sebuah hospital Johor Bahru selama sebulan sebelum dipindahkan ke SKH bulan lalu.

"Selepas makan malam (di rumah di Gelang Patah), Nur rebah dan tidak sedarkan diri. Dia dibawa ke Gleneagles Hospital Medini Johor dan tidak sedar selama sebulan di ICU," kata Adee.

Disebabkan kos yang tinggi, penyanyi tersebut dipindahkan pula ke Hospital Besar Sengkang di Singapura. Selaku rakyat Singapura, rawatan di negara sendiri akan menerima bantuan subsidi.

PERLUKAN SEKITAR $80,000 BAGI LUNASKAN BIL HOSPITAL

"Kos rawatan di ICU sekitar RM10,000 sehari," cerita Adee ketika Nur dirawat di hospital Gleneagles di Johor. Beliau menambah, bil hospital tersebut akhirnya mencecah sehingga sekitar RM100,000 (S$32,000).

Meskipun jumlah bil di Hospital Besar Sengkang belum diketahui, beliau menganggarkan kosnya akan mencapai $50,000 kerana Nur mendapatkan rawatan di ICU, bilik isolasi, bilik pemantauan serta menjalani pelbagai ujian dan konsultasi bersama doktor selama sekitar sebulan.

Bermakna, bil-bil hospital di Johor dan Singapura mencecah lebih S$80,000 kesemuanya.

"Tidak boleh gunakan Medisave untuk melunaskan semua bilnya dan kami hilang pendapatan selama hampir dua tahun akibat COVID-19.

"Saya tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga Nur dan wang simpanan kami tidak cukup.

"(Nur) tiada insurans, saya bimbang tentang bil hospitalnya," luah Adee yang setakat ini mengumpulkan sekitar $5,000 melalui pelbagai sumbangan daripada rakan-rakan seperjuangan mereka.

Kini Nur memerlukan lagi sekitar $75,000 bagi membantu membiayai bil hospitalnya itu. Penyanyi itu adalah bapa kepada dua orang anak yang kini menuntut di peringkat posmenengah.

(Gambar: Nuradee)

Usaha mengumpul dana untuknya kini dijalankan menerusi akaun PayNow penolong peribadi Nuradee, yang dikenali sebagai Fizah.

TETAP BERSYUKUR

Dugaan yang dialami Nur merupakan ujian besar terkini dialaminya dalam tempoh dua tahun.

Pada 2019, Nur terlantar di hospital setelah terkena jangkitan 'Necrotizing fasciitis' - bakteria bangkai haiwan yang makan daging - sehingga kakinya mungkin terpaksa dikudungkan. Mujur, hanya sebatang sahaja jari kakinya perlu dipotong, kata Adee.

Walaupun diuji sebegitu, Adee tetap melahirkan rasa syukurnya.

(Gambar: Nuradee)

"Dah bertahun-tahun Allah beri kesenangan, kebahagiaan dan kenikmatan, cuma kali ini Allah duga sedikit saja.

"Semoga Allah berikan kehidupan yang seperti biasa. Berserah dan reda. Doakan kami," kata Adee.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan