Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Nuradee dipindahkan ke wad biasa; keluarga bersiap hadapi senario terburuk

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penyanyi kumpulan Nuradee, Mohd Noor Abdullah (Nur), tidak menunjukkan banyak kemajuan dalam proses pemulihan.

Namun, beliau telah dipindahkan dari wad jagaan kritikal ICU ke wad biasa di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) "beberapa hari lalu," menurut Adee, yang nama sebenarnya adalah Mohamed Rasid Abdullah, 58 tahun.

Nur dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) setelah rebah di rumah pada 8 September lalu dan kemudian dipindahkan ke TTSH untuk rawatan lanjut.

Sebelum ini Nur dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya menjadi stabil tetapi dimasukkan semula ke ICU selepas berada di wad itu untuk satu malam.
MAKAN-MINUM MELALUI TIUB, MASALAH PADA JANTUNG, GINJAL DAN OTAK

Apabila dihubungi wartawan Roslinda Rahmat, Adee berkongsi keadaan terkini adiknya.

Beliau berkata, “Nur sedar, tetapi fikirannya tidak stabil dan badannya pun tidak okay. Buah pinggangnya bermasalah, jantungnya ada isu, dan otaknya juga terjejas. Kami hanya menantikan mukjizat dari Allah. Kami tunggu. Masa yang akan memberitahu. Tetapi kami sudah bersedia jika Nur terlantar di katil atau menghadapi apa-apa keadaan. Kami telah berusaha merawatnya dengan apa jua cara.”
Gambar: Adee Nuradee
Adee tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kesukaran yang dihadapi oleh Nur, yang kini tidak mampu makan seperti biasa.

“Beliau tidak boleh makan makanan pepejal. Minum air pun tidak boleh. Semuanya menggunakan tiub, kerana ototnya untuk menelan sudah tidak berfungsi. Apabila Nur tidak boleh makan langsung, itu sangat menyedihkan. Malah, beliau tidak dapat minum air kerana bimbang air itu akan masuk ke paru-parunya.”

Beliau menambah, “Doktor juga menyatakan bahawa otaknya ada masalah. Sekarang, Nur sering meracau. Kadang-kadang dia lupa dan berbual tentang perkara yang tidak relevan. Percakapannya juga teruk; kami tidak faham apa yang dia katakan. Hanya satu atau dua perkataan yang boleh kami fahami ketika Nur berusaha bercakap dengan sejelas mungkin. Malangnya, 90 peratus pertuturannya sudah tidak dapat difahami lagi.”

KELUARGA MASIH BERHARAP NUR PULIH TAPI BERSIAP UNTUK APA JUA KEMUNGKINAN

Mengenai keadaan ginjal Nur, Adee menyatakan:

"Mungkin beliau memerlukan rawatan dialisis. Namun, saya berusaha sebaik mungkin untuk menghindari dialisis, kerana ia boleh menjadi sangat menyusahkan. Kini, hanya masa yang akan menentukan sama ada masalah pada otak, buah pinggang, dan jantung Nur akan pulih.

"Doktornya telah meminta kami bersiap sedia, kerana mungkin Nur tidak akan mampu bangun lagi dan hanya akan terlantar di atas katil. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengetahuan dan pembacaan saya, masih ada harapan untuk Nur. Namun, kami perlu berusaha keras. Itulah harapan kami. Keluarga saya, termasuk kakak saya, sudah bersedia menghadapi apa jua kemungkinan."
(Dari kiri) Adee dan Nur. (Gambar: Adee Nuradee)
Adee melawat Nur di hospital dua kali sehari, sambil meneruskan kerjayanya sebagai seniman jalanan atau 'busker' secara solo.

"Saya tidak pasti bila Nur akan pulih. Kami hanya berserah kepada Allah. Untuk meneruskan kehidupan, saya masih melakukan persembahan jalanan, tetapi kini seorang diri. Terdapat banyak saat di mana saya telah menempah lokasi untuk 'busking', tetapi terpaksa membatalkan kerana urusan di hospital.

"Saat ini, hanya rakan-rakan terdekat yang dibenarkan melawat Nur. Lagipun, hanya dua pelawat dibenarkan pada satu masa."

KAWAN DAN KENALAN TAMPIL MEMBANTU

Ketika ditanya tentang usaha beberapa pihak yang berusaha mengumpul dana untuk membantu menampung kos rawatan Nur, Adee berkata: "Sebenarnya saya tidak pernah minta bantuan, tidak pernah bersuara. Tetapi kami ada ramai kawan, kenalan yang memahami, yang nak dan sudahpun beri sumbangan. Saya tidak tahu berapa banyak duit yang kami perlukan. Buat masa ini, bil rawatan Nur sudah menjangkau puluhan ribu dolar. Saya dan Nur pun bukan bekerja. Jadi kami tiada Medisave.

"Kami tiada banyak simpanan. Untuk hidup sahaja, ada. Tetapi untuk benda lain, kami serahkan kepada keadaan, kepada Allah. Kami harap dapat bantuan dari pemerintah atau sesiapa sahaja. Saya sendiri sekarang sedang beri tumpuan kepada usaha agar Nur boleh sembuh."

Usaha pengumpulan dana untuk Nur bermula daripada seorang rakan sekolah Nur yang dikenali sebagai Imah.

Beliau adalah kawan sekolah Nur di Sekolah Rendah Beng Wan.

"Beliau merupakan seorang yang aktif dalam kerja-kerja amal. Beliau menghubungi saya dan berkata, 'Imah nak tolong carikan dana sumbangan masyarakat untuk Nur. Imah tahu sebab Imah pernah bekerja di hospital dan tahu mesti perlukan banyak wang, dan Imah tahu anda dan Nur tidak ada Medisave," kongsi Adee.

Beliau menambah: "Ada dua atau tiga orang yang menghubungi saya untuk membuat kutipan dana bagi Nuradee. Saya katakan, jika niat mereka baik, kami alu-alukan. Namun, kami tidak meminta. Kami tidak ketuk pintu rumah orang untuk meminta bantuan. Terdapat beberapa individu yang datang dan memberikan sumbangan, sama ada memasukkan terus ke dalam akaun bank kami atau memberikan wang tunai. Alhamdulillah, ini membantu kami meneruskan kehidupan.

"Sejak Nur jatuh sakit pada tahun 2021, kami tidak dapat membuat persembahan luar negara, hanya mampu melakukan 'busking'. Sebelum Nur jatuh sakit kali ini, kami mempunyai banyak tempahan persembahan hingga Januari 2025, dengan jadual penuh setiap hujung minggu. Namun, sekarang kami terpaksa membatalkan dan memulangkan wang tempahan. Alhamdulillah, kebanyakan mereka enggan mengambil kembali deposit mereka, malah mereka berkata mereka halalkan. Itu sangat menyentuh hati kami."

SETIAP DOA DAN BANTUAN DIHARGAI

Setiap hari, Adee menerima panggilan daripada doktor yang memberikan kemaskini tentang keadaan Nur.

"Katanya, selepas ini Nur tidak boleh tinggal di hospital lama dan perlu dipindahkan ke hospital masyarakat. Di hospital masyarakat pun, kami tidak boleh tinggal lama dan mesti membawa Nur balik ke rumah."

Adee menyatakan bahawa jika mereka tidak dapat menguruskan Nur di rumah, pilihan terakhir adalah memasukkannya ke rumah kebajikan.

"Ini adalah senario paling buruk. Tetapi saya serahkan segalanya kepada Allah, sambil terus berusaha sebaik mungkin," tambahnya dengan penuh harapan.

Beliau juga tidak lupa menghargai sokongan yang diterima.

"Kepada mereka yang ingin membantu, alhamdulillah kami sangat bersyukur. Bagi mereka yang sudah mendoakan Nur, itu adalah yang paling penting—doa. Doakanlah. Saya sentiasa berfikiran positif," ujar Adee yang teguh menghadapi dugaan ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan