Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Mimifly belajar bahasa isyarat untuk jayakan lagu terbaharunya 'Angkat'

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Mimifly belajar bahasa isyarat untuk jayakan lagu terbaharunya 'Angkat'

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Jan 2025 12:09PM Dikemas Kini : 24 Jan 2025 12:12PM
KUALA LUMPUR: Hanya mengambil masa lebih kurang sejam untuk menguasai bahasa isyarat bagi menjayakan muzik video lagu terbaharunya 'Angkat', penyanyi Mimifly tidak menyangka gerakan tangan yang menjadi sebahagian daripada koreografi itu mencipta fenomena di media sosial. 

Pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham itu terharu apabila bahagian rap sepanjang 12 saat itu viral serta menjadi pilihan orang ramai sebagai muzik latar kandungan media sosial dan menjadi trend menerusi tanda pagar AngkatSLChallenge di laman TikTok. 

“Sebenarnya ilham untuk masukkan konsep bahasa isyarat itu last minute, dan datang secara bersahaja. Pada mulanya Mimi hanya lihat pelajar kelas yoga Mimi berinteraksi dalam bahasa isyarat ketika di kedai makan dan tanya apa mereka sedang buat. 

“Jadi mereka cakap ada ujian bahasa isyarat sebentar lagi…  sambil makan Mimi lihat mereka dan terlintas di fikiran betapa cantiknya seni bahasa isyarat ini jika dijadikan koreografi,” katanya ketika ditemui selepas program Show Buzz terbitan Bernama Radio hari ini.

Jelas wanita berusia 39 tahun itu, tanpa berfikir panjang menghubungi guru terbabit yang juga individu kurang pendengaran dan bisu bagi membantunya menterjemahkan lirik lagu kepada bahasa isyarat. 

Mengulas makna lirik lagu yang mendapat tontonan 1.5 juta di YouTube selepas tiga minggu dimuat naikkan, Mimi berkata ia ditulis berdasarkan pengalaman peribadinya dan menjadi “jawapan balas” terhadap kritikan negatif yang sering diterimanya. 

“Mimi dah buat lagu sejak masuk industri dan Mimi rasa lagu Angkat ini paling jujur... jadi bila orang yang mendengar rasa dekat (mungkin) sebab kita dengar daripada perasaan. Mimi cuma  nak jadi seluhur yang mungkin dengan apa Mimi rasa,” katanya.

Beliau juga mendedahkan sedang bekerja keras menghasilkan lagu raya bersempena dengan hari raya tahun ini.

“Mimi ada lagi lagu-lagu lain yang akan menyusul. Karya seterusnya adalah reaksi balas lagu Angkat, jadi doakan (semoga jadi realiti). Sekarang ini Mimi nak usahakan lagu raya dulu,” katanya.
Sumber : Bernama/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan