Penyanyi Iman Fandi terharu, berbesar hati dengan reaksi memberangsangkan bagi persembahannya di NDP

Gambar: Instagram/imanfandi17
Di samping itu, ramai penonton dan hadirin rata-rata bersetuju bahawa salah satu daripada sorotan NDP 2023 juga termasuk cara Iman Fandi mempersembahkan 'Bunga Sayang'.
Selama dua minit dan 40 saat, semua mata tertumpu kepada penyanyi dan model yang berusia 23 tahun itu sedang beliau menguasai pentas tersebut dengan cara pembawaannya yang tersendiri bagi lagu klasik hasil ciptaan Dick Lee itu. Para penonton seolah-olah terpukau dengan persembahan Iman, sekali gus menarik sebilangan komen di platform online mengenai penampilannya yang menusuk kalbu.
Mediacorp bertemu Iman, yang merupakan satu-satunya anak perempuan kepada pasangan legenda bola sepak tempatan Fandi Ahmad dan bekas model Wendy Jacobs, untuk mendapatkan reaksinya terhadap pujian yang mencurah-curah bagi penampilannya.
"Ia sangat mengharukan untuk mengetahui penonton saya menyokong saya dalam apa jua yang saya ceburi, tidak kira sama ada dalam bidang peragaan, sukan dan kini, muzik," ujarnya.
"Saya sangat berbesar hati dapat menyumbang kepada dunia seni Singapura yang kian berkembang dan saya teruja melihat apa yang bakal berlaku dalam tahun-tahun mendatang."
Iman berkongsi bahawa beliau "sangat menikmati tempoh" persiapan dalam menghasilkan versinya sendiri bagi lagu 'Bunga Sayang', sambil menyifatkannya sebagai "detik istimewa yang akan disimpan dalam hatinya untuk selama-lamanya".
"Apabila lagu Bunga Sayang diperkenalkan kepada saya, saya menikmati peluang untuk memberikan nafas baharu menerusi cara saya tersendiri. Kami sangat bangga dengan apa yang ditampilkan dan saya masih tidak percaya versi yang saya lakukan telah didengari oleh seluruh rakyat negara ini."
Meskipun beliau tidak asing daripada membuat persembahan di hadapan khalayak ramai, Iman akur bahawa beliau berasa gementar.
"Saya sangat gementar tetapi ghairah pada masa yang sama. Ia benar-benar satu detik istimewa bagi saya. Tiada apa-apa yang dapat menandingi perasaan bagi suasana untuk persembahan sedemikian. Saya mahu menggambarkan seluruh perasaan tersebut tetapi saya rasa selamat untuk saya katakan bahawa rasa gemuruh hilang sejurus saya tampil di pentas," ungkapnya.
Iman membuat penampilan sulungnya sebagai seorang penyanyi pada 2021 dengan single 'Timeframe'. Sejak itu, beliau telah melancarkan beberapa lagu lain termasuk 'Top Bop' dan 'Love Me Little More'. Buat masa ini, beliau sedang "sibuk menghasilkan karya bagi album baharu yang mungkin bakal dikeluarkan."
Beliau meluahkan harapan agar dapat bekerjasama dengan lebih ramai artis serantau dan antarabangsa untuk membuat penampilan di luar negara.
"Saya tidak sabar untuk berkongsi muzik saya dengan lebih ramai penonton," luahnya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.