Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Hattan diminta mohon maaf secara terbuka selepas menempelak penyampai berita

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Petugas media bukan peserta program realiti yang boleh dimalukan atau 'disekolahkan' di hadapan khalayak ramai.

Sehubungan itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) meminta penyanyi mapan, Hattan, membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya menempelak penyampai berita wanita dari Astro Awani ketika siaran secara langsung pada Jumaat (28 Apr).

Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah, berkata tindakan memalukan petugas media sama ada artis, ahli politik mahupun menteri harus dihentikan segera.

"Pendirian NUJ untuk saling menghormati, tidak kiralah senior mahupun profesion.

"Setiap individu mempunyai hak dihormati dan ditegur dengan baik sekiranya melakukan kesalahan.

"Dalam isu membabitkan penyampai berita Astro Awani, NUJ menggesa Hattan bertindak lebih profesional sekiranya tidak mahu menjawab soalan diajukan.

"Beliau boleh menolak pertanyaan dengan sopan," katanya kepada agensi berita BH Online.

Cik Farah berkata tindakan itu memulakan rantaian tindakan, di mana orang lain juga boleh bertindak kurang ajar dengan petugas media selepas ini.

"Belajarlah saling menghormati dan tunjukkan teladan baik terutama kepada generasi muda.

"Sehubungan itu, NUJ menggesa Hattan memohon maaf secara terbuka kerana tindakannya menegur ketika siaran langsung bukan sahaja memalukan penyampai berita, malah dilihat memperlekehkan tugas pengamal media.

"Dalam hal ini, NUJ memuji penyampai berita berkenaan yang kekal tenang dan profesional," katanya, dipetik agensi berita BH Online.

Tambah Cik Farah, tidak salah saling bermaafan, apatah lagi, pada bulan Syawal ini.

"Industri hiburan di Malaysia tidak besar dan pastinya kita saling memerlukan suatu hari nanti," tambahnya.

Sebelum ini, nama Hattan panas dan menjadi bahan perdebatan warga siber selepas insiden menempelak penyampai berita Astro Awani kerana mendakwa tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan.

Menerusi rakaman video yang tular, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 59 tahun, dihubungi oleh penyampai berita wanita berkenaan menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan 'makan dalam', lapor agensi berita BH Online.

Soalan diajukan kepada penyanyi 'Memburu Rindu' itu berikutan pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 malam kelmarin.

Bagaimanapun, keadaan menjadi agak tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan tersebut.

Dalam nada serius, Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.

Kecewa dengan situasi itu, Hattan sempat 'sekolahkan' penyampai berita itu sebelum bertindak mematikan talian.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan